
PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkongsi asal-usul pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berikutan pelbagai tohmahan pembangkang termasuk bertujuan membeli undi.
Bercakap di depan kira-kira 2,000 penerima, beliau berkata, bantuan itu dicadangkan Bank Negara Malaysia yang bukan bersifat kepartian politik dalam usaha membolehkan kaedah subsidi bersasar dilakukan.
“Subsidi ini (bersasar) adalah lebih baik daripada subsidi pukal yang banyak ketirisan. Sebagai contoh, mungkin mereka yang menerima subsidi ini menjualnya di sempadan.
“Keduanya, orang yang sepatutnya menerima subsidi secara relatifnya mendapat kurang berbanding orang yang tinggi kemampuan, contohnya petrol RON95. Orang berkereta besar mendapat manfaat lebih daripada mereka yang memandu Proton Saga atau Myvi,” katanya pada majlis pelancaran BR1M peringkat kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Oleh itu, Najib yang juga menteri kewangan berkata, sudah sampai masanya untuk kerajaan membuat perubahan dasar yang memberi manfaat besar kepada rakyat melalui pemberian BR1M.
Justeru, katanya, BR1M dilaksanakan pada 2012 dengan bantuan RM500 yang memanfaatkan hampir 4.1 juta penerima sebelum dinaikkan kepada RM1,000 pada 2016 dan RM1,200 pada 2017.
“Janji kita 5 tahun dahulu dalam manifesto Barisan Nasional (BN), kita akan naikkan BR1M kepada RM1,200 dan dalam jangka masa ini, janji telah ditepati. Kita tidak akan membuat janji, kalau kita fikir tidak boleh ditunaikan.
“Saya takkan keluarkan kenyataan sesuatu manifesto itu kita kaji semula…ada orang buat kenyataan bukan nak tepati, nak kaji semula 60% daripada manifesto. Apa guna manifesto yang mana janji kita takkan tunaikan,” kata perdana menteri.
Beliau berkata, sehingga hari ini, kerajaan BN berjaya menunaikan 97.6% janji dalam manifesto pada PRU lepas.
Najib berkata, BR1M yang menjadi antara pertanyaan popular pengguna media sosial setiap kali beliau memuat naik pelbagai status di Facebook dan Twitternya turut membantu merangsang ekonomi negara.
“Apabila kita dapat BR1M, kita gunakan untuk membeli barang-barang asas seperti beras, gula, susu dan pakaian sekolah…ini merangsang ekonomi domestik,” katanya.
Beliau turut menempelak pihak yang hanya pandai mengkritik pemberian BR1M, tetapi tidak memberi sebarang cadangan berhubung kaedah lebih baik dalam menyampaikan subsidi.
Katanya, pihaknya bersedia menimbang sebarang cadangan untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Kalau nak kata dedak atau ‘cash is king’, ini mengarut sebab zaman dia dahulu tidak buat, kita kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.”
Pengagihan BR1M 2018 yang melibatkan peruntukan RM6.3 bilion untuk kira-kira 7 juta penerima di seluruh negara akan dilakukan dalam 3 fasa.
Bayaran pertama BR1M mulai esok, manakala fasa ke-2 dan ke-3 bakal dibuat pada Jun dan Ogos nanti.