Kren tumbang di MRR2, seorang cedera

krenjatuh_5
Kren rangkak mengangkat cerucuk selongsong di kawasan tinggi bersebelahan MRR2 (arah Ampang) hilang imbangan dan jatuh merentangi laluan utama MRR2. (Tangkap layar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kejadian kren tumbang di kawasan pembinaan Lebuhraya SUKE di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Cheras kira-kira 9.00 pagi tadi menyebabkan kesesakan teruk dengan kenderaan mula perlahan dari Setiawangsa di Ulu Kelang.

Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi laman Twitternya, setakat 11.00 pagi ini hanya lorong paling kanan boleh dilalui.

Pengguna dinasihatkan berhati-hati melalui jalan itu atau menggunakan laluan alternatif, menurut LLM.

Setakat ini Bernama difahamkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

krenjatuh3
Kejadian kira-kira 9.00 pagi tadi menyebabkan kesesakan teruk dengan kenderaan mula perlahan dari Setiawangsa di Ulu Kelang.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Ampang, Razali Budin berkata setakat ini hanya seorang mangsa Azri Yahya berusia 40-an dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 10.12 pagi dan 7 anggota digegaskan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

Menurutnya, sebuah kren rangkak sedang mengangkat cerucuk selongsong bagi kerja pembinaan di kawasan tinggi bersebelahan MRR2 (arah Ampang) hilang imbangan dan jatuh merentangi laluan utama MRR2.

“Ini menyebabkan ‘crane boom’ merentangi laluan utama MRR2 (arah Ampang) dan menutup 2 daripada 3 lorong (lorong perlahan & tengah). Keadaan ini menyebabkan gangguan trafik,” katanya.