Penduduk gesa Azmin siasat kronisme tanah Kg Felda Bukit Cerakah

Lebih 50 orang berarak menggesa campurtangan menteri besar.
Lebih 50 orang berarak menggesa campurtangan menteri besar.

SHAH ALAM: Warga Kampung Felda Bukit Cerakah menggesa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mengarahkan siasatan ke atas dakwaan kronisme dalam pemberian hak milik tanah di kampung itu.

Lebih 50 ahli Gerakan Generasi Ke-2 Kampung Felda Bukit Cerakah (GGF2) berkata kerajaan negeri perlu menyiasat adakan wujud dalang kronisme di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor dan pimpinan kampung selepas didapati hanya 15% orang memperolehi hak tanah daripada 119 penama yang lulus.

Menurut Pengerusi GGF2 Faizal Rahman, pada awalnya seramai 281 orang penduduk asal diminta mengisi borang memohon hak milik tanah dan diserah kepada PDT Kuala Selangor pada 2015.

“Bila kita meneliti lanjut, secara keseluruhan sebanyak 85% penduduk tempatan tidak disenaraikan sebagai penerima,” katanya kepada pemberita di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

GGF2 mendakwa 85% penama digantikan dengan orang luar, ahli JKKK dan ahli JKKKP.
GGF2 mendakwa 85% penama digantikan dengan orang luar, ahli JKKK dan ahli JKKKP.

Faizal mendakwa pihaknya mendapati 85% penama “digantikan” dengan orang-orang luar, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JKKP)

“Ini satu perkara yang pelik bagaimana nama-nama yang telah dikemukakan boleh hilang dan diganti dengan penduduk luar,” katanya.

Terdahulu GGF2 menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafie.

Mereka menuntut satu siasatan menyeluruh dijalankan bermula dengan PDT Kuala Selangor dan menggesa kerajaan negeri membatalkan dan menolak senarai penama sedia ada.