Ribuan pengguna MRR2 terkandas akibat kren tumbang

mrr2-1
Gambar facebook.

KUALA LUMPUR: Ribuan pengguna Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika ini, khasnya dari arah Ulu Klang ke Ampang, berikutan kejadian kren tumbang di tapak projek berhampiran Dataran Ukay pada pukul 9.58 pagi ini.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian pada pukul 1.30 tengah hari tadi mendapati hanya 1 daripada 3 lorong di laluan itu boleh digunakan akibat kren itu yang masih menghalang lalu lintas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Supt Azman Shari’at berkata dianggarkan jarak kesesakan kini sepanjang 5 km dari arah Ulu Klang menuju ke arah Ampang.

Beliau berkata pihak konsultan dan kontraktor dalam proses mendapatkan kren bagi membuat pengalihan terhadap halangan di tapak kejadian.

Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki berusia 36 tahun cedera dan kini mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Setakat 6.20 petang ini, 2 buah kren pengangkut digunakan untuk kerja-kerja pengalihan kren yang tumbang di tapak projek berhampiran Dataran Ukay.

Menurut sumber, sebuah daripada kren berkenaan diletakkan di tebing bukit berhampiran lokasi kren terbalik manakala sebuah lagi diletakkan di atas jalan raya bertindak sebagai kren penyokong.

“Ketika ini, kontraktor projek sedang dalam proses memasang rantai khas untuk mengangkut kren terbalik itu yang dipasang pada tayar kren.

Sebuah platform sementara juga dibina bagi menempatkan kren terbalik itu dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada Bernama.

Prolintas: Tanah tak stabil punca kren tumbang di MRR2

Kren tumbang di MRR2, seorang cedera