Mahkamah kekalkan penjara 8 bulan untuk pemimpin muda Amanah

Mohd-Fakhrulrazi-Mohd-Mokht
Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (tengah) bersama pemimpin Amanah lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman 8 bulan penjara ke atas Naib Ketua Pemuda Amanah, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang disabitkan di bawah Akta Hasutan berkait kritikannya terhadap penghakiman kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim 3 tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah berkata keputusan Mahkamah Sesyen pada Ogos 2016 adalah “selamat dikekalkan”.

Menurutnya, Fakhrulrazi menggunakan loudhailer di perkarangan Sogo di Kuala Lumpur dalam menuduh kerajaan menzalimi Anwar.

“Mahkamah Tinggi ini berpuashati pihak pendakwaan atas penelitian maksima berjaya membuktikan suatu kes prima facie seperti mana pertuduhan dan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di atas kes pendakwaan yang berjaya dibuktikan tanpa sebarang keraguan munasabah,” kata Azman dalam penghakiman ringkas.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permintaan pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman ke atas Fakhrulrazi.

Hakim juga membenarkan hukuman ditangguhkan sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Peguam Fakhrulrazi, Ariff Azami Hussein berkata pihaknya akan berhujah di peringkat rayuan bagi menunjukkan ucapan anak guamnya tidak berunsur hasutan.

Fakhrulrazi dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan, berhubung ucapannya di perhimpunan #KitaLawan pada 2015.

Selain beliau, 8 aktivis lain termasuk Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan pengurusnya Mandeep Singh turut didakwa berkait perhimpunan sama.