SUPP nafi Riot akan digugur

richard-riot
Gambar blogspot.

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian hari ini menafikan timbalan presiden parti Datuk Seri Richard Riot Jaem akan digugurkan daripada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi dan kita tiada masa untuk gugurkan sesiapa… kita perlu bekerja bersama agar kuat menghadapi pilihan raya.

“Kita tidak mahu SUPP sahaja yang kuat, kita juga patut jadikan politik Sarawak kuat,” kata Dr Sim yang juga menteri kerajaan tempatan dan perumahan Sarawak kepada Bernama hari ini.

Riot, 66, yang juga menteri sumber asli dan ahli Parlimen Serian, dikatakan akan digugurkan pada PRU14.

Ahli Parlimen selama 6 penggal itu wakil dipilih tunggal SUPP di Parlimen, selepas beliau mempertahankan Serian, kerusi luar bandar Dayak, satu-satunya kerusi dimenangi SUPP daripada 7 ditandingi pada PRU13, selain menjadi timbalan presiden bukan Cina pertama parti.

Dr Sim berkata sokongan kaum Cina terhadap SUPP kini semakin teguh dan dapat membantu Barisan Nasional (BN) negeri membaiki prestasi buruk mereka pada PRU13.

Beliau berkeyakinan nasib parti tertua Sarawak itu akan berubah pada pilihan raya kali ini.

Ditanya mengenai tindakan kumpulan serpihan SUPP, Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang turut menuntut 7 kerusi parlimen terbabit, Dr Sim berkata kerusi berkenaan merupakan kerusi tradisi SUPP dan parti lain tidak wajar menuntutnya.

Selain Serian, 6 lagi kerusi ditandingi SUPP pada PRU lalu ialah Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Lanang, Sarikei yang kesemuanya dimenangi DAP serta Bandar Miri yang dirampas PKR.

Kesemua kerusi terbabit adalah kawasan bandar majoriti Cina.

“Ketua menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) pada jamuan tengahari sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran SUPP baru-baru ini menyatakan beliau mahu SUPP merampas kembali kerusi Lanang dan Sibu, ini jelas menunjukkan beliau sendiri mahu SUPP bertanding di kerusi ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata sesiapa sahaja yang mahu bertanding di 7 kerusi terbabit menggunakan lambang BN mesti menjadi calon SUPP.