Dipercayai kumpulan pengganas terancang, 3 ditembak mati di Tawau

polis-fmtTAWAU: Tiga lelaki bersenjata yang ditembak mati polis di kawasan ladang di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau petang semalam dipercayai daripada kumpulan pengganas terancang.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali berkata perkara itu berdasarkan pergerakan taktikal ketiga-tiga suspek ketika melarikan diri serta berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian 3.20 petang.

“Kita belum kenal pasti mereka ini daripada kumpulan pengganas mana tetapi berdasarkan senjata api yang digunakan kita percaya mereka kumpulan terlatih, dan kita dalam proses mengetahui mereka ini daripada kumpulan mana.

“Kita juga siasat sama ada ini kumpulan sama yang cuba menghidupkan sel atau pangkalan IS di Sabah seperti kenyataan ketua polis negara sebelum ini mengenai cita-cita IS untuk menubuhkan pangkalan IS di negeri ini.” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga dalam proses menghantar gambar dan cap jari ketiga-tiga suspek kepada pasukan keselamatan di negara jiran dan polis antarabangsa (Interpol).

“Setakat ini, kita belum mengenal pasti identiti ketiga-tiga suspek dan mereka ini tidak berada dalam senarai dikehendaki ESSCom sebelum ini ,” katanya yang turut percaya terdapat rakan suspek masih berada di negeri ini.

Selain itu, Hazani berkata pihaknya turut menyiasat bagaimana senjata api digunakan suspek masuk ke negeri ini sama ada melalui jalan tikus di Jalan Kalabakan-Keningau atau jalan laut.

“Peluru dirampas dalam kejadian ini dari pelbagai negara jiran dan jika dilihat pada senjata pistol ini terdapat sedikit pengubahsuaian tetapi perkara ini akan disahkan,” katanya.

Semalam, polis menembak mati 3 suspek di sebuah ladang di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau pada jam 3.20 petang.

Polis turut merampas kereta Perodua Kancil yang pernah dilaporkan hilang di Kota Kinabalu, pistol mengandungi 4 peluru hidup 3.8, senapang M4 Colt456 mengandungi 2 butir peluru, pedang samurai, beg hitam mengandungi 9 peluru hidup 3.8, serta 2paket plastik dipercayai dadah.

Sementara itu, katanya pelaksanaan Road Check Point (RCP) melibatkan gabungan pasukan keselamatan seperti polis dan Angkatan Tentera Malaysia di Kalabakan di Tawau serta Telupid akan disegerakan.

“Jalan Kalabakan-Sapulut, Keningau menghubungkan Pantai Timur Sabah, Pantai Barat Sabah dan Pedalaman Sabah dan kita percaya ini laluan digunakan penjenayah rentas sempadan termasuk untuk menyeludup,” katanya.