Annuar beri amaran jangan heret Umno dalam masalah PPBM

annuar-fb
Gambar Facebook

PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa memberi amaran kepada PPBM supaya tidak mengheret Umno dalam masalah parti itu, susulan tindakan Umno menangguhkan pemilihan parti melebihi 18 bulan.

Beliau merujuk kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang mempersoalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kenapa tidak mengambil tindakan terhadap Umno menangguhkan pemilihan parti.

Ketua penerangan Umno itu berkata, parti berkenaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Kalau ada apa-apa, kita minta kebenaran. Apa yang kita buat tak pernah melanggar apa yang ada dalam peraturan.

“Kalau kita menangguhkan (pemilihan parti), kita menangguhkan dengan kebenaran JPPM (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia),” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata, PPBM sepatutnya menyelesaikan masalah mereka dengan JPPM tanpa membabitkan parti lain.

“Selesaikan masalah mereka dengan JPPM.”

Hari ini, Muhyiddin berkata, PPBM terpaksa mengadakan pemilihan parti, walaupun penubuhannya belum sampai setahun kerana berdepan tekanan daripada JPPM.

Katanya, Muhyiddin turut menggesa JPPM tidak berat sebelah terhadap parti pemerintah dan pembangkang.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN dan Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menolak dakwaan Umno akan diharamkan dalam masa terdekat berikutan penangguhan pemilihan parti itu.

Katanya, Umno masih berkuat kuasa di semua peringkat dan melaksanakan tanggungjawabnya seperti terkandung dalam asas dan tujuan penubuhannya.

Beliau turut memaklumkan pemilihan Umno yang ditangguhkan sebelum ini, akan diadakan selewat-lewatnya 19 April 2019.

“Ini selaras kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Ini merujuk Seksyen 13 A(4) Akta Pertubuhan 1966, Pendaftaran Pertubuhan berkuasa untuk melanjutkan tarikh atau waktu pemilihan pertubuhan berdaftar dengan syarat suatu permohonan bertulis dibuat.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/03/01/muhyiddin-kenapa-jppm-tak-ambil-tindakan-terhadap-umno-tangguh-pemilihan/