Ladang ternakan didenda RM10,000 jual lembu berpenyakit TB

cows_reuters
Gambar Reuters

KLANG: Tindakan sebuah syarikat ternakan lembu tenusu “melupuskan” 37 ekor lembu miliknya yang disahkan berpenyakit Tuberkulosis (TB) tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Selangor membawa padah, apabila Mahkamah Majistret hari ini mengenakan denda maksimum RM10,000 ke atas syarikat itu.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi turut menetapkan hukuman penjara 4 bulan ke atas SK Dairy Farm yang diwakili pemiliknya, Ainon Nazuwa Mat Jamal, 34, sekiranya gagal membayar denda.

Syarikat itu membayar denda.

SK Dairy Farm didakwa melupuskan 37 ekor lembu baka Frisien itu di ladang lembu milik syarikat tersebut di Kampung Lombong, kira-kira 10 pagi pada 28 Disember 2016.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 34 (1) Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013 dan dihukum mengikut Seksyen 34 (2) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000.

Berdasarkan fakta kes, Bahagian Kesihatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor mengeluarkan surat arahan Asing Singkir Ternakan Lembu Positif Penyakit Tuberkulosis bertarikh 6 Disember 2016, selepas ujian ke atas sampel darah yang diambil daripada 74 ekor lembu di ladang berkenaan mendapati 39 ekor daripadanya positif TB.

Surat arahan itu dikeluarkan untuk pelupusan lembu-lembu tersebut menggunakan suntikan Euthanasic.

Bagaimanapun, pada 28 Disember 2016, kakitangan teknikal pejabat perkhidmatan Veterinar Daerah Klang yang datang ke ladang itu untuk menjalankan arahan asing singkir tersebut mendapati hanya 2 ekor daripada 39 ekor lembu terbabit yang tinggal. Syarikat itu memaklumkan pihaknya telah menjual 37 ekor lembu tersebut.

Terdahulu, Ainon Nazuwa yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan denda maksimum RM1,000 atas alasan ini merupakan kesalahan pertama SK Dairy Farm dan syarikat itu menanggung banyak kerugian dalam kes itu.

Bagaimanapun, pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Faiz Ajis yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat berikutan penyakit TB yang berpunca daripada haiwan boleh berjangkit kepada manusia dan membawa maut.

Menurut beliau, statistik Kementerian Kesihatan pada 2016 menunjukkan Selangor mempunyai jumlah pesakit TB tertinggi di Malaysia iaitu 1,680 orang dan berdasarkan statistik oleh jurnal kesihatan, berlaku peningkatan penyakit TB sebanyak 13% dari 2015 ke 2016.

“Punca penyakit TB bukan sahaja disebabkan oleh warga asing tetapi boleh tersebar dalam kalangan haiwan seterusnya boleh berjangkit kepada manusia. Dalam kes ini, kita tidak tahu syarikat terbabit menjual 37 ekor lembu itu kepada siapa.

“Risiko bawaan TB oleh haiwan boleh menyebabkan produk tenusu dan daging ternakan tercemar dan udara juga boleh tercemar disebabkan bakteria TB. SK Dairy Farm tidak sepatutnya ‘hilangkan’ lembu-lembu terbabit kerana bagi ternakan yang positif penyakit TB dan perlu dihapuskan, kerajaan akan bayar pampasan kepada syarikat berjumlah RM2,000 setiap ekor,” katanya.