PAS mahu tanding di 5 kerusi Parlimen di Sarawak

Gambar AFP.
Gambar AFP.

MIRI: PAS Sarawak memutuskan untuk bertanding di 5 kerusi Parlimen di Sarawak dengan parti itu mungkin meletakkan calon bukan Islam untuk 1 daripada kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofrie Jaraiee berkata parti itu sudah mengemukakan senarai calon untuk 5 kerusi Parlimen itu kepada ibu pejabat PAS pada Isnin namun enggan mendedahkan nama kawasan Parlimen berkenaan.

“Semua calon PAS dicadangkan adalah lelaki berumur antara 30 dan 60 tahun. Kita juga mungkin meletakkan calon bukan Islam, kita akan nyatakan semuanya selepas pembubaran Parlimen,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada PRU13, PAS Sarawak bertanding di 5 kerusi Parlimen tetapi tewas semuanya dan buat kali pertama dalam sejarah parti itu di Sarawak, ia meletakkan calon bukan Islam pada pilihan raya negeri 2016.

PAS menamakan bekas artis rakaman Iban, Clement Bayang, sebagai calonnya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Kakus, yang mempunyai majoriti penduduk Iban, tetapi tewas.