Wan Saiful sedia hadapi kritikan buat U-turn, sertai PPBM

wan-saiful-wan-jan-ppbm
Wan Saiful (berdiri) mengumumkan penyertaannya dalam PPBM sambil disaksikan Muhyiddin Yassin (dua dari kanan) pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

PETALING JAYA: Penganalisis politik, Wan Saiful Wan Jan sedia berdepan pengkritik mendakwanya kaki “U-turn” yang kembali bersekongkol dengan Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah dilabelkannya “mahafiraun”.

“Ada juga yang akan berfikir bagaimana mungkin Wan Saiful bersekongkol dengan individu seperti Tun Dr Mahathir yang pernah dikatakan sebagai mahafiraun,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

“Bagaimana mungkin saya dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah saya bangkang semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri. Tetapi, hakikatnya kita mahu mendepani dan menangani masalah besar yang melanda negara hari ini, maka kita perlu melakukan tindakan hari ini.”

Wan Saiful menyertai PPBM secara rasmi hari ini, selepas 21 tahun menjadi ahli seumur hidup PAS.

Pengumuman beliau menjadi ahli seumur hidup parti serpihan Umno itu, dibuat di depan Presiden PPBM, Muhyiddin dan Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pimpinan tertinggi lain.

Beliau baru meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas). Beliau mengetuai badan pemikir itu sejak 2009.

Wan Saiful menyertai PAS pada 1997 dan mengasaskan Ideas bersama 2 rakannya lebih 9 tahun lalu, selepas pulang dari London.

Wan Saiful berkata, beliau memilih untuk menyertai PPBM dan tidak lagi bekerja dengan semua parti politik kerana mahu memastikan perubahan berlaku di negara ini serta mengembalikan maruah bangsa.

“Perbualan dengan isteri merupakan langkah pertama yang akhirnya membawa saya ke dalam PPBM, memang jika difikirkan kesan terhadap saya, secara peribadi sukar untuk saya ceritakan betapa besar risiko ini.

“Saya kehilangan sumber pendapatan utama dan bermula hari ini, secara rasminya pendapatan bulanan saya ialah kosong. Selepas ini, akan ada pihak yang cuba mencari jalan melaga-lagakan saya dengan parti baharu yang saya pilih ini.

“Saya fikir berucaplah sekuat mana sekalipun, tulislah sebanyak mana kertas cadangan, tapi sekiranya rejim yang sama terus mentadbir negara, perubahan tuntas yang kita mahukan mustahil akan terlaksana kerana ‘political will’ itu tidak wujud dalam pentadbiran Umno dan Barisan Nasional (BN) hari ini.

“Penyelesaian sebenar hanya akan berlaku jika semua bangkit menolak dan menjatuhkan Umno dan BN dalam PRU (pilihan raya umum) akan datang.”

Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU14, Wan Saiful menyerahkan perkara itu kepada parti untuk memutuskannya.

“Itu keputusan parti, biar PPBM putuskan. Saya tak boleh pandai-pandai takut dipecat tidak sampai 5 minit.”

Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Wan Saiful sebagai timbalan pengarah strategi dan dasar PPBM yang akan bergandingan dengan Datuk Rais Hussin.

Muhyiddin juga tidak menolak kemungkinan PPBM akan melantik Wan Saiful mengisi kekosongan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.

PPBM sahkan penyertaan pengasas Ideas