Zahid: Henti jadikan dasar pendidikan bahan uji kaji

zahid-hamidi-dpm-office
Gambar Twitter

CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mereka yang dilantik sebagai menteri pendidikan supaya mematuhi dasar kerajaan, bukannya mencipta legasi baru dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, menteri pendidikan perlu mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi mengelakkan pelajar menjadi bahan uji kaji yang akan menjejaskan masa depan mereka.

“Kita akan lihat semula melalui apa saja dapatan daripada resolusi Majlis Perundingan Islam (MPI) ini bagi pewujudan Suruhanjaya Pendidikan Malaysia.

“Ya, pemimpin datang dan pergi, tetapi soal dasar pendidikan jangan dijadikan bahan uji kaji.

“Anak-anak kita menjadi bahan uji kaji dan akhirnya tubuh mereka lebih awal bongkok sebelum usia kerana beban yang dibawa, bukan sekadar beban pemikiran, tetapi beban buku yang membongkokkan mereka.

“Buku-buku jarang dibaca kerana tahap pembacaan di Malaysia ini sangat kurang,” katanya selepas merasmikan Ijtimak MPI di Studio Al-Hijrah, hari ini.

Pada 23 Februari lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata laporan akhir Kajian Penilaian Beg Berat Murid Sekolah memperakui bebanan buku yang dibawa murid sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) adalah berat.

Katanya, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid diberikan penerangan secara spesifik mengenai dapatan kajian itu oleh Bahagian Buku Teks yang bertanggungjawab menyediakan laporan itu pada mesyuarat pasca Kabinet baru-baru ini.

Kamalanathan berkata, antara cadangan itu ialah murid hanya perlu membawa buku mengikut jadual pembelajaran harian, manakala buku latihan atau bahan pembelajaran lain tidak perlu dibawa setiap hari ke sekolah.

Beliau berkata, beberapa cadangan yang dikemukakan itu boleh dilaksanakan segera, tetapi kementerian tetap tegas dengan pernyataan beg sekolah bagi murid tahun 1, 2 dan 3 seharusnya ringan.

Isu beg berat mendapat perhatian khusus Mahdzir yang mengarahkan satu kajian segera dilakukan kementerian bagi membolehkan masalah yang menjadi rungutan ibu bapa itu ditangani dengan lebih berkesan.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, kerajaan akan lebih meneliti masalah dan “kecacamarbaan” dalam sistem pendidikan negara.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/23/kementerian-terima-laporan-kajian-murid-dibebani-beg-berat/