Menteri: Runding semula TPP dengan AS bukan pilihan

Mustapa-Mohamed
Gambar Reuters

SINGAPURA: Sebarang langkah merunding semula perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dengan Amerika Syarikat (AS) akan memerlukan 11 negara lain berkompromi dengan beberapa isu dan mengambil masa lama, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Merunding semula sudah pasti bukan satu pilihan. Jika kita berbuat demikian, ia akan mengambil masa bertahun-tahun sebelum kita mencapai persetujuan,” katanya di luar Pemukiman Menteri-menteri Ekonomi Asean Ke-24 dan Mesyuarat Berkaitan di sini, hari ini.

Pada 27 Februari lalu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dilaporkan berkata, negaranya sedang berbincang untuk menyertai semula perjanjian perdagangan pelbagai hala itu.

Mnuchin berkata, merunding semula perjanjian perdagangan itu merupakan satu pilihan dan beliau sudah berbincang dengan negara lain tentang bagaimana AS meneliti semula tindakannya.

Presiden AS, Donald Trump menarik diri daripada TPP pada Januari 2017 dengan alasan perjanjian itu tidak memberi faedah kepada negara tersebut, menyebabkan 11 negara lain melakukan rundingan semula di peringkat masing-masing.

TPP yang dianggotai 11 negara kemudian mencapai persetujuan dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dijangka ditandatangani pada 8 Mac ini di Chile.

“TPP yang dianggotai 12 negara sebelum ini mengambil masa bertahun-tahun untuk berunding dan hanya pada Oktober 2015 kami memuktamadkan rundingan,” kata Mustapa.

“Jika tanya saya, kita mencatat kemajuan ketara…Kita menghabiskan banyak masa untuk merundingkan perjanjian (baharu). Kita mencapai perjanjian seimbang – hasil seimbang. Sebaik sahaja kita patah balik, imbangan kos dan faedah akan berubah.”

Bulan lalu, Trump di Davos memberi isyarat sedia membuka semula perbincangan perdagangan, jika AS boleh mendapat perjanjian lebih baik.

Katanya, beliau sedia berunding semula dengan 11 negara TPP “secara berasingan atau mungkin sebagai kumpulan, jika ia demi kepentingan semua.”

Sebelas negara anggota TPP itu adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Mustapa mengumumkan Ketua Perunding, Datuk Seri J Jayasiri yang merupakan ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, akan mewakili Malaysia pada pemeteraian CPTPP di Santiago.