Jazlan bidas Australia guna media dedah kes beku akaun pengarah JSJ

Nur-Jazlan-Mohamed-Wan-Ahmad-Najmuddin-Mohd-bidas-AustraliaJOHOR BAHRU: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini mempertikai tindakan pihak berkuasa Australia menggunakan media untuk mendedahkan kes pembekuan akaun bank milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman baru-baru ini.

Nur Jazlan berkata pihak berkuasa negara itu sepatutnya mengambil terus tindakan terhadap Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd jika terbukti beliau menjalankan aktiviti penggubahan wang haram seperti didakwa.

Bagaimanapun, kegagalan pihak berkenaan berbuat demikian mewujudkan persoalan sama ada terdapat “udang di sebalik batu” dalam kes terbabit.

“Saya tak tahulah kenapa kerajaan Australia berbuat begitu. Kalau rasa perkara ini merupakan satu jenayah, melibatkan pengubahan wang haram, ambillah tindakan.

“…tetapi tidak pula, dia hanya menggunakan media untuk memalukan Malaysia,” kata beliau dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Kempas hari ini.

Nur Jazlan berkata tindakan yang diambil seolah-olah mahu mewujudkan persepsi bahawa satu kesalahan jenayah membabitkan penggubahan wang haram telah dilakukan sedangkan tiada pendakwaan dibuat setakat ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulas laporan akhbar asing semalam yang melaporkan polis Australia merampas sejumlah AUD$320,000 (RM971,728) dalam akaun bank milik Wan Ahmad Najmuddin kerana disyaki hasil penggubahan wang haram.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan wang yang disalurkan dalam akaun Wan Ahmad Najmuddin dari sumber yang sah dan digunakan untuk membiayai pendidikan anak-anaknya di Australia.