Kes rogol bawah umur di Pahang membimbangkan

AFP pic
AFP pic

KUANTAN: Jumlah kes rogol direkodkan di negeri ini sepanjang tahun lepas meningkat kepada 163 kes berbanding 134 kes pada 2016.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata paling membimbangkan, 76 kes melibatkan remaja merupakan pelajar sekolah berumur 16 tahun ke bawah.

“Kita perlu ingat walaupun ia merupakan kes suka sama suka, apabila melibatkan pelajar atau remaja 16 tahun ke bawah secara automatik ia kes rogol, apatah lagi sekiranya dipaksa ataupun menerima ancaman.

“Berdasarkan rekod, lebih 40% kes rogol ini dilakukan teman lelaki sendiri, 32% oleh kenalan dan orang tidak dikenali sebanyak 5%.

“Bagi perogol yang merupakan ayah kandung dan juga bapa saudara pula sebanyak 4%,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Rosli berkata jika sebelum ini kes melibatkan golongan pelajar hanyalah buli, kini ia bertambah serius sehingga ada terlibat dengan jenayah berat seperti samun, rogol serta pembunuhan.

“Polis dan Jabatan Pendidikan juga dapat mengesan kes pengedaran gambar lucah melalui telefon bimbit dalam kalangan pelajar dan walaupun kes begini adalah kecil, kita tidak pernah memandang ringan.

“Polis akan sentiasa memantau dan mengambil langkah yang perlu bagi membendung gejala tersebut daripada terus menjadi barah dalam kalangan pelajar,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 306 pelajar menerima watikah pelantikan pemimpin muda bertujuan memberi pengiktirafan kepada mereka yang dapat melaksanakan tugas diamanahkan pihak sekolah dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.