NGO gesa PH penuhi permintaan tingkatkan demokrasi

PH-1
(Dari kiri) Penyelidik Ideas, Aira Azhari, Pengarah C4, Cynthia Gabriel, wakil PPBM, Rais Hussin dan Wan Saiful Wan Jan serta Ahli Exco TI-M, Chew Phye Keat pada majlis penyerahan memorandum hari ini.

PETALING JAYA: Sekumpulan pemimpin masyarakat awam hari ini menyerahkan satu memorandum kepada PPBM meminta parti pembangkang itu memenuhi permintaan disenaraikan, jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, berkata badan bukan kerajaan (NGO) terbabit mengambil masa 6 hingga 7 bulan menyiapkan agenda tadbir urus baik untuk diserahkan kepada parti politik sebelum PRU14.

Katanya, permintaan itu terdiri daripada 5 perkara utama yang didahului akses awam kepada maklumat.

“Ini adalah isu penting yang disekat Akta Rahsia Rasmi. Ini mengalahkan semua perkara dari segi maklumat kerajaan.

“Kami perlukan akses kepada maklumat untuk menjadi rakyat sedia maklum. Kita mahu Pakatan Harapan (PH) komited dalam menggubal undang-undang kebebasan maklumat di peringkat persekutuan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PPBM.

Katanya, perkara ke-2 dalam senarai itu ialah mewajibkan ahli politik mengisytihar harta sebelum memegang jawatan awam.

“Ini adalah sesuatu yang sangat penting untuk menjadikan ahli politik lebih bertanggungjawab terhadap orang ramai.

“Mereka perlu mengisytihar harta apabila membentuk kerajaan. Kami tidak meminta mereka berbuat demikian sebelum itu.

“Tidak salah menjadi kaya, tetapi kami mahu memastikan anda tidak menjadi kaya kerana dana awam.”

Permintaan ke-3 yang dijelaskan penyelidik Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Aira Azhari, ialah menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara institusi bebas.

“Cadangan kami ialah menjadikan SPRM sebuah badan berperlembagaan dengan kuasa untuk mengambil dan memecat pekerja.

“Jabatan Peguam Negara sebaliknya memerlukan pembaharuan sangat penting memandangkan peguam negara dan pendakwa raya kini menjadi seorang individu yang mempunyai konflik kepentingan.

“Kami juga mahu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat diperkasakan untuk membolehkan pemberi maklumat mendedahkan bukti kepada wartawan penyiasat, selain polis atau SPRM.”

Ahli Exco Transparency International-Malaysia (TI-M), Chew Phye Keat berkata, permintaan ke-4 ialah masyarakat awam mahu kerajaan baharu komited kepada demokrasi penyertaan.

“Norma masyarakat sudah berubah dan idea demokrasi penyertaan lebih disukai masyarakat.

“Kami mahu menyertai sesetengah proses kerajaan. Kami mahu memberi pandangan mengenai isu yang ada kaitan dengan kami.

“Kami mahu proses rundingan awam supaya kami tahu bagaimana perkara tertentu dilaksanakan, prosedur yang menjejaskan rakyat dan undang-undang baharu yang bakal dikuatkuasakan.

“Kami mahu ketelusan dalam belanjawan agar kami boleh nampak bagaimana wang dibelanjakan dan juga proses pemerolehan kerajaan yang telus.”

Chew berkata, demokrasi penyertaan juga memerlukan pemilihan majlis tempatan dipulihkan.

Katanya, sudah tiba masanya rakyat dibenarkan mengundi untuk memilih pembuat keputusan di peringkat pihak berkuasa tempatan.

Permintaan terakhir NGO itu ialah menggubal undang-undang mengawal selia pembuayaan politik.

Chew berkata, undang-undang pembiayaan politik memerlukan ahli politik membuat pendedahan dan bertanggungjawab terhadap wang yang mereka terima.

Mereka juga mahu sekatan terhadap cara syarikat berkaitan kerajaan digunakan untuk mendapat pembiayaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk Rais Hussin menyambut baik permintaan itu dan berkata, senarai itu sepatutnya sudah digubal sebagai undang-undang.

“PPBM menyokong pembaharuan dan keadilan, jadi apabila kami tahu tentang senarai ini, kami mengalu-alukannya kerana ia sama dengan perkara yang kami perjuangkan.

“Pembiayaan politik turut dimasukkan dalam manifesto kami yang akan didedahkan pada 8 Mac ini,” katanya.