Pokok tumbang dekat KLCC disebabkan akar mereput

pokok-klcc1_1
Gambar Facebook

KUALA LUMPUR: Pokok tumbang di Jalan Ampang pagi tadi disebabkan pereputan bahagian akarnya yang tidak dapat dilihat secara fizikal dan berlaku di luar jangkaan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan hari ini berkata pereputan akar pokok itu menyebabkan pokok tidak stabil dan mudah tumbang.

Menurut kenyataan itu, pokok tersebut merupakan spesis Hujan-hujan berusia lebih 130 tahun dengan ukur lilit 4.65m.

Pokok Hujan-hujan merupakan tanaman landskap di Jalan Ampang iaitu antara jalan terawal dibina di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu, pokok di Jalan Ampang diselenggara mengikut jadual sebanyak 2 kali setahun dan pada tahun lepas ia dijalankan dari 1 hingga 30 April dan 11 hingga 27 Disember.

Kerja terlibat pada selenggaraan terakhir ialah penebangan 3 pokok, 70 cantasan dan kerja ”crown reduction” (pemangkasan silara) ke atas 19 pokok.

Menurut kenyataan itu lagi, DBKL melaksanakan penyelenggaraan dengan melantik arboris untuk membuat pemeriksaan pokok secara fizikal di sekitar ibu kota.

Hasil laporan arboris itu, DBKL dapat mengenal pasti lokasi pokok berisiko bagi diambil tindakan.

Selain itu, DBKL juga sedang merangka Pelan Pengurusan Pokok Berisiko dengan memberi keutamaan di kawasan tepian jalan dengan melantik arboris membuat pemeriksaan terperinci.

Dengan hasil pemeriksaan ini, arboris perlu mengemukakan cadangan pengurusan pokok yang perlu dilaksanakan sama ada dikekal, ditebang dengan membuat penggantian atau ditebang tanpa penggantian.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi tadi, seorang penunggang motosikal dan pemboncengnya cedera selepas motosikal mereka melanggar sebatang pokok tumbang di Jalan Ampang berhampiran Menara Berkembar Petronas, KLCC di sini.