Laporan: SPRM siasat kes akaun RM1 juta pengarah JSJ

sprm-logo-macc-malaysia-1

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berhubung pembekuan akaun hampir RM1 juta di Australia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dipetik The Sun sebagai berkata, siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pemberi maklumat semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemberi maklumat itu yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Pada mulanya kami dengar mengenai kes itu daripada satu sumber terbuka dan kami tidak boleh terus mengambil tindakan. Seperti kami katakan sebelum ini, kami menghormati siasatan dalaman polis dan kenyataan dibuat timbalan perdana menteri.

“Kami akan mempertimbangkan dan dengan maklumat terbaru yang kami terima daripada pemberi maklumat itu semalam, kami akan memulakan satu siasatan secepat mungkin,” katanya kepada akhbar itu.

Beliau berkata, pegawai penyiasat SPRM akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes itu daripada Bukit Aman dan polis Australia.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai memberi ruang kepada pihaknya untuk menjalankan siasatan dan tidak membuat spekulasi.

“Kes ini berlaku di Australia pada 2016. Jadi, kami perlu mendapatkan maklumatkan berkaitan daripada pihak berkuasa Australia dan polis persekutuan (negara itu).”

Ahad lalu, Azam dilaporkan berkata, SPRM menerima hasil siasatan dalaman polis yang membersihkan Najmuddin daripada sebarang salah laku.

Katanya, SPRM akan memulakan siasatan jika menerima laporan daripada individu yang disokong bukti mencukupi terhadap salah laku atau penyalahgunaan kuasa.

Jumaat lalu, Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan polis Australia membekukan A$320,000 (RM970,000) dalam akaun “Goal Saver” Bank Commonwealth milik Najmuddin kerana mengesyaki “kemasukan wang tunai mencurigakan” dalam akaun itu yang tidak aktif selepas dibuka pada 2011.

Menurut laporan itu, kemasukan wang kurang daripada A$10,000 bermula seminggu selepas Najmuddin melawat Australia pada 2016.

SMH melaporkan baki akaun Najmuddin bertambah hampir A$290,000 kepada A$320,000 dalam tempoh sebulan, menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki wang itu adalah hasil kegiatan jenayah atau pengubahan wang haram.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada Jumaat lalu berkata, siasatan dalaman membersihkan Najmuddin daripada sebarang salah laku pada 2016.

Katanya, siasatan itu berdasarkan dokumen sah yang membuktikan dana dalam akaun bank di Australia itu adalah hasil jualan rumah di Shah Alam bernilai RM700,000 (kadar tukaran mata wang ketika itu berjumlah A$260,770).

Beliau berkata, Najmuddin membuktikan deposit yang dibuat ke dalam akaun itu dari sumber dan tujuan sah.