Penumpang Malindo bogel hidap masalah mental, kata polis

penumpang-malindo-bogel-mental
Gambar Blogspot.

PETALING JAYA: Penumpang yang mencetuskan kekecohan dalam sebuah pesawat Malindo Air dari Kuala Lumpur ke Dhaka hujung minggu lalu, selepas menanggalkan pakaiannya dan menyerang pramugari, menghidap penyakit mental.

Portal bdnews24.com melaporkan polis Bangladesh membebaskan lelaki berusia 20 tahun itu, selepas bapanya menunjukkan dokumen perubatan bagi membuktikan penyakit mental dihidapi anaknya.

Dalam kejadian mengejutkan Sabtu lalu, warga Bangladesh yang dikenali sebagai Didar itu berbogel sambil menonton pornografi menerusi komputer ribanya dalam penerbangan berkenaan.

Saksi mendakwa pelajar sebuah universiti swasta di Cyberjaya itu turut berjalan ke tandas dalam keadaan bogel dan membuang air kecil di tempat duduknya, serta menyerang ketua pramugari ketika diminta memakai pakaiannya.

Penumpang lain kemudian membantu kru kabin menahan lelaki itu dan mengikat tangannya menggunakan kain.

Gambar lelaki itu berbogel tersebar di media sosial.

Portal bdnews24.com memetik Ketua Balai Polis Lapangan Terbang Dhaka, Noor-e-Azam Mia sebagai berkata, Didar dihadapkan ke depan majistret selepas pesawat itu mendarat di Dhaka.

Dia kemudiannya dibawa ke sebuah hospital mental tidak didedahkan, selepas diserahkan kepada bapanya.

Malindo Air dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, kru penerbangan OD162 mematuhi prosedur operasi standard untuk menahan penumpang itu bagi mengelakkan gangguan berterusan kepada kru dan penumpang lain.

“Kami akan terus berwaspada bagi memastikan penumpang menaiki penerbangan dengan selamat,” kata Malindo Air.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan kru kabin lelaki dalam penerbangan Malindo Air.

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin berkata, kejadian itu patut dijadikan amaran.

“Adakah mereka menunggu sesuatu lebih serius berlaku sebelum mengambil langkah sewajarnya?” katanya kepada FMT sambil menambah pramugari mengadu kepada Nufam mengenai beberapa kejadian gangguan seksual oleh penumpang.

Dhaka flight incident shows it’s time for Malindo to hire male cabin crew, says Nufam

Naked man causes stir on Malindo flight