Warisan cuba guna perkara bukan isu untuk raih undi, kata Ramlee

Ramlee-Marahaban_twitterKOTA KINABALU: Tiada tindakan perlu diambil kerana Manila tidak membuat sebarang tuntutan rasmi ke atas Sabah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban.

“Jika Filipina tidak memulakan langkah pertama, iaitu membuat tuntutan di ICJ, apa yang perlu dihapuskan atau dibalas?”

Beliau merujuk kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal yang berjanji akan “menghapuskan tuntutan” ke atas Sabah, jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ramlee berkata, semua perbincangan mengenai tuntutan ke atas Sabah sekadar suara politik dalaman Filipina.

“Ia sekadar cakap-cakap, tidak lebih daripada itu. Jadi, tidak ada tuntutan, apatah lagi tuntutan rasmi,” kata Ramlee kepada FMT.

“Tuntutan sedemikian sudah berpuluh tahun kedengaran di Filipina dan kepimpinan Filipina terus bertukar.

“Sesetengah orang di Filipina asyik membangkitkan isu ini untuk mendapat kepentingan politik daripada isu ini.”

Tuntutan sekian lama itu muncul semula apabila bekas presiden senat Filipina, Aquilino Pimentel Jr mencadangkan Sabah dijadikan wilayah Filipina dalam usaha negara itu beralih kepada sistem persekutuan.

Pimentel ialah ahli jawatankuasa rundingan yang dilantik Presiden, Rodrigo Duterte untuk mengkaji semula Perlembagaan 1987.

Ramlee berkata, walaupun Filipina membuat tuntutan ke atas Sabah di ICJ, ada prosedur yang perlu diikuti.

“Perkara ini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Luar dan andainya Warisan ialah kerajaan, ia adalah perkara yang perlu ditangani Wisma Putra,” kata adun Bugaya itu.

Ramlee berkata, Warisan menjadikan perkara bukan isu sebagai perkara serius.

Beliau berkata, jika Warisan terus memberi keutamaan kepada cakap-cakap di Filipina, ia umpama parti pembangkang itu mengiktiraf retorik politik sebagai satu tuntutan rasmi.

“Warisan kini cuba menjadikan perkara bukan isu sebagai isu sensitif dan memberi kesan negatif kepada kedaulatan dan keselamatan kita.”

Tiada alasan tuntutan

Ramlee berkata, kerajaan Filipina tiada alasan untuk membuat tuntutan ke atas Sabah di ICJ.

“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian Malaysia.

“Malaysia dan Filipina mempunyai hubungan baik dan jiran kita tidak mahu menjejaskan hubungan itu.

“Menteri Luar, (Datuk Seri) Anifah Aman baru-baru ini mengatakan rakan sejawatannya di Filipina memberitahunya Filipina tidak akan membuat tuntutan sedemikian.”

Katanya, adalah jelas parti pembangkang itu sedia mengambil kesempatan terhadap apa sahaja, termasuk perkara bukan isu untuk mendapat sokongan politik daripada rakyat.

“Mereka menjanjikan banyak perkara, seperti mewujudkan Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Sabah sendiri, seolah-olah kita tidak mempunyai pemimpin berkemampuan menjaga portfolio itu.

“Mereka ialah orang terdesak yang akan melangkaui sempadan dan menggunakan isu sensitif seperti agama dan bangsa untuk meneruskan agenda mereka.

“Sekarang, mereka mengatakan mereka mahu menghalang Sabah daripada jatuh ke tangan negara lain dan mendakwa kita tidak berbuat apa-apa.

“Tetapi, apa yang Warisan mahu halang? Mereka tidak boleh menghalang orang di Filipina daripada bercakap mengenai Sabah.”

Pembantu menteri itu berkata, kerajaan persekutuan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mengabaikan negeri itu, seperti didakwa Warisan.

Beliau berkata, Najib adalah perdana menteri terbaik untuk negara dan Sabah setakat ini.

“Perdana menteri sebelum ini melayan Sabah seperti ‘anak tiri’,” kata Ramlee merujuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Najib berjanji apa sahaja hak Sabah yang diambil secara sengaja atau tidak sengaja, akan dikembalikan.

“Apa yang penting adalah kerajaan persekutuan dan Sabah mempunyai hubungan rapat yang akan memanfaatkan kerajaan negeri.

“Warisan akan menurut apa sahaja kemahuan mereka, termasuk politik kebencian untuk merosakkan hubungan baik ini.”

Shafie terlambat tolak tuntutan Filipina ke atas Sabah, kata PBRS