Exco Selangor: Bekalan air dijangka pulih 6 petang esok

Reuters pic
Gambar Reuters.

BESTARI JAYA: Bekalan air ke Lembah Klang yang terganggu sejak semalam dijangka pulih secara berperingkat bermula 6.00 petang esok.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib bagaimanapun berkata bekalan air akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 36 hingga 72 jam.

“Tempoh masa pemulihan bagi wilayah Kuala Langat dan Hulu Selangor sehingga 6.00 pagi, Sabtu ini manakala bagi wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur sehingga 6.00 petang Ahad ini,” katanya pada sidang akhbar di Loji Rawatan Air SSP3 hari ini.

Katanya dalam kejadian petang semalam, kegagalan Sistem Mampatan Udara berfungsi dengan baik menyebabkan 5 batang paip bersaiz 1,100mm rosak dengan 2 daripadanya pecah dan terpelanting keluar daripada strukturnya.

“Ketika ini, kerja pembaikan kecemasan Sistem Mampatan Udara sedang dijalankan bagi menyegerakan pemulihan bekalan air kepada 563,622 akaun di 6 wilayah terlibat,” jelasnya.

Mengulas mengenai kejadian petang semalam, Zaidy berkata kerja pembaikan kritikal di Loji Rawatan Air SSP3 dilakukan bagi membaiki kerosakan injap Pam No 3 oleh Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) selepas mendapat kelulusan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Katanya masalah kerosakan injap tersebut hanya dikesan selepas pihak Pengurusan Air Selangor mendapati berlaku penyusutan paras Kolam Imbangan Bukit Tadun pada 26 Jan lalu.

“Penyusutan paras kolam itu disebabkan pengurangan kadar pengepaman air bersih dari Loji Rawatan Air SSP3 yang dikendalikan oleh Splash,” jelasnya.

Katanya pihak Pengurusan Air Selangor akhirnya terpaksa membuat laporan kepada Span selepas usaha bagi mendapatkan penjelasan daripada Splash mengenai masalah tersebut tidak berjaya.

Siasatan Span pada 5 Feb lalu bagaimanapun mendapati bukan hanya Pam No 3 yang mengalami kerosakan tetapi tiga lagi unit pam air bersih tidak berfungsi iaitu Pam No 4, Pam No 5 dan Pam No 8.

Ketiga-tiga pam berkenaan bagaimanapun tiada kaitan dengan insiden paip pecah berlaku semalam, jelasnya.