Kajian: Kanak-kanak lelaki cenderung alami penderaan seks paling teruk

child-abuse-dera

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak lelaki cenderung mengalami bentuk eksploitasi seksual dalam talian yang paling teruk berbanding kanak-kanak perempuan, menurut laporan Interpol dan pertubuhan sokongan yang mengetengahkan trend yang banyak tidak dilapor itu.

Kumpulan anti pemerdagangan berkata, penyebaran internet berkelajuan tinggi pada harga murah dan peningkatan pemilikan telefon bimbit, memacu pertumbuhan pemerdagangan seks siber melibatkan kanak-kanak didera menerusi siaran langsung dan dijual untuk seks.

Walaupun kanak-kanak perempuan mencatat 2/3 daripada jumlah mangsa, kajian terkini mendapati gambar dan video dalam talian yang memaparkan kanak-kanak lelaki, termasuk anak kecil, sering melibatkan penderaan lebih teruk seperti sadisme dan bentuk serangan seksual lain.

Dapatan itu berdasarkan analisis pangkalan data mengandungi lebih 1 juta gambar dan video penderaan dari seluruh dunia yang dikumpul oleh agensi polis antarabangsa, Interpol.

“Ia menunjukkan betapa banyak yang kita tidak tahu dan betapa banyak lagi penyelidikan perlu dilaksanakan,” kata Damian Kean dari End Child Prostitution in Asian Tourism (ECPAT) International, sebuah kumpulan berpangkalan di Bangkok melawan eksploitasi seksual kanak-kanak.

ECPAT turut serta menjalankan kajian itu.

Kean berkata dapatan menunjukkan kerajaan-kerajaan perlu mengkaji semula usaha membanteras jenayah itu, dan memastikan bantuan diberikan kepada kedua-dua kanak-kanak perempuan dan lelaki.

“Mungkin penguatkuasaan undang-undang tidak memperakui atau mengutamakannya, kerana mereka tidak berkenaan isu itu dan ianya kurang dilaporkan,” katanya kepada Thomson Reuters Foundation hari ini.

“Perkara ini perlu disiasat lebih lanjut.”

Pangkalan data Interpol mengenal pasti lebih 12,000 mangsa sejak ditubuhkan pada 2009, tetapi pihak berkuasa masih berusaha untuk mengenal pasti yang lain.

Daripada jumlah tidak dapat dikenal pasti, lebih 60% adalah kanak-kanak sangat kecil termasuk bayi dan kanak-kanak baru berjalan, dan 1/3 daripada mereka adalah lelaki, menurut laporan itu yang diterbitkn pada Selasa.

Interpol dan ECPAT berkata pengenalpastian mangsa adalah kunci dalam mengesan pesalah laku kerana bahan penderaan biasanya dibuat oleh mereka yang rapat dengan mangsa seperti guru dan penjaga.

“Kita bercakap tentang kanak-kanak sangat kecil, bayi yang beberapa bulan umurnya, menjadi magsa serangan seksual dahsyat,” kata ketua unit jenayah terhadap kanak-kanak Interpol, Bjorn Sellstrom dalam kenyataan.