Najib jelaskan 5 kelemahan utama pembangkang

najibrazak_uluyam1
Gambar Facebook

HULU SELANGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan masalah bekalan air dan kos harga rumah tinggi antara 5 kelemahan besar gagal ditangani kerajaan pembangkang di Selangor.

Selain itu, berdasarkan kajian, beliau berkata kelemahan lain kerajaan negeri adalah mengenakan cukai membebankan rakyat negeri, pengurusan sampah lemah dan gagal menguruskan sungai dengan baik sehingga membawa peningkatan penyakit berjangkit.

“…air gagal diurus kerajaan negeri, tengok saja pembangkang di Kelantan, kita (kerajaan pusat dan kerajaan negeri) boleh uruskan air tetapi di sini (Selangor) mereka utamakan politik, bukan hal rakyat.

“Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd) memaklumkan 6 daerah kritikal, cemas, ibarat telur di hujung tanduk, sebab bekalan air lemah, kualiti semakin teruk, tekanan rendah, bil kelam-kabut dan khidmat servis tidak baik… inilah kisah pentadbiran air di Selangor,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Selangor di Dataran Kampung Sungai Chik, Ulu Yam Baharu hari ini.

Turut hadir, pengerusi BN Selangor yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, presiden MIC yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Ketua Wanita BN Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim, wakil rakyat Hulu Selangor Datuk P Kamalanathan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Adun Hulu Bernam Datuk Rosni Sohar.