Pelajar terkena pisau pemotong rumput: Pampasan selepas selesai siasatan

mesin-rumput-gemas
Gambar Facebook

KUALA LUMPUR: Pampasan pihak kontraktor kepada keluarga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas yang maut terkena bilah pisau mesin pemotong rumput hanya ditentukan selepas selesai siasatan pihak polis.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata ini bagi menentukan sama ada pihak kontraktor terbabit bertanggungjawab dalam kejadian itu atau sebaliknya.

“Ini bawah tindakan polis. Bila siap siasatan, baru kita tahu siapa perlu bertanggungjawab… saya tidak boleh jawab untuk pihak polis,” katanya menjawab soalan tambahan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) mengenai pampasan kepada keluarga mangsa.

Chong menambah pampasan insurans takaful daripada kementerian sebanyak RM5,500 diberikan kepada keluarga mangsa pada 23 Februari lepas.

Beliau berkata kementeriannya juga mengeluarkan satu lagi surat peringatan berkenaan keselamatan murid di sekolah pada 28 Februari untuk semua pentadbir sekolah.

Katanya, pekeliling Kementerian Pendidikan sememangnya menyatakan semua kerja penyelenggaraan, termasuk memotong rumput, perlu dilaksana dalam suasana tiada murid sama ada sebelum atau selepas waktu sekolah.

Dalam kejadian 10.30 pagi 13 Februari lepas, pelajar Tingkatan 2, Nur Afini Roslan, 14, maut selepas bilah mesin pemotong rumput terpelanting dan terkena kepalanya, manakala 2 pelajar lelaki mengalami kecederaan.