Tiada wabak misteri di Sarawak

Dr-Jamilah-HashimMIRI: Jabatan Kesihatan Sarawak hari ini menafikan kewujudan wabak penyakit misteri menjangkiti kanak-kanak dan semakin serius merebak di bandar raya Miri seperti ditularkan.

Pengarahnya Dr Jamilah Hashim berkata kandungan tular itu tidak tepat dan semakan serta pengesahan pemantauan wabak penyakit berjangkit pihaknya mendapati tiada peningkatan ketara sebarang penyakit berjangkit di bandar raya ini sejak 9 bulan lalu.

“Meskipun begitu, pihak pengurusan Hospital Miri mengesahkan terdapat sedikit peningkatan kemasukan pesakit ke wad di hospital itu sejak awal Februari lepas terutamanya di wad kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya trend itu normal berlaku selepas musim perayaan dan kemasukan ke wad tersebut disebabkan pelbagai penyakit dan bukan penyakit berjangkit spesifik.

Mengenai memo dalaman Hospital Miri, “Notis Segera Penangguhan Pembedahan Elektif”, bertarikh 7 Mac 2018 yang juga tular hari ini, Dr Jamilah berkata notis itu ditujukan kepada ketua jabatan hospital berkenaan tidak menjejaskan perkhidmatan hospital termasuk pembedahan khususnya bagi kes kecemasan yang berjalan seperti biasa.

“Orang awam yang ingin mendapatkan kepastian/pengesahan atas mesej ditularkan, boleh menghubungi ‘Crisis Preparedness and Response Centre’, Jabatan Kesihatan Sarawak di talian 082-443248,” katanya.