Wanita Iran dipenjara 2 tahun kerana buka tudung di khalayak

iran-womenTEHRAN: Seorang wanita yang membuka tudung di khalayak sebagai bantahan terhadap undang-undang wajib bertudung di Iran dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan 3 bulan tanpa parol, kata badan kehakiman pada Rabu.

Ketua Pendakwa Raya Tehran, Abbas Jafari Dolatabadi, yang mengumumkan hukuman itu, tidak mendedahkan identiti wanita terbabit tetapi berkata wanita itu berhasrat merayu keputusan tersebut, lapor agensi berita badan kehakiman, Mizan Online.

Wanita itu “menggalakkan korupsi moral” di khalayak ramai, katanya mengkritik hukuman ringan itu dan berkata beliau akan mendesak hukuman penuh 2 tahun.

Lebih 30 wanita Iran ditahan sejak akhir Disember lalu kerana membuka tudung di khalayak sebagai membantah undang-undang tersebut.

Kebanyakan mereka dibebaskan tetapi ramai yang didakwa.

Undang-undang itu berkuat kuasa sejak Revolusi Islam 1979 yang menetapkan semua wanita sama ada warga Iran atau asing, Islam atau bukan Islam, mesti bertudung penuh di khalayak ramai.

Tetapi semangat polis moral di negara itu merosot sejak 2 dekad lalu menyebabkan semakin ramai wanita Iran di Tehran dan bandar-bandar besar lain memakai tudung longgar yang mendedahkan rambut.

Di sesetengah kawasan di Tehran, wanita sering dilihat memandu kereta dengan melilitkan tudung di bahu.

Dolatabadi berkata beliau tidak lagi dapat menerima tingkah laku sedemikian dan mengarahkan pihak berkuasa menunda kereta-kereta wanita yang memberontak.

Pendakwa raya berkata pihaknya boleh sedikit bertolak ansur sekiranya wanita memakai tudung longgar, “tetapi kita mesti bertindak tegas terhadap mereka yang sengaja mempersoalkan peraturan bertudung menurut Islam,” kata Mizan Online.