Gempa bumi terkini di Sabah bukan susulan, kata pakar

earthquake-ranau-sabahKOTA KINABALU: Gempa bumi berukuran 5.2 magnitud yang melanda Ranau malam tadi adalah gempa baharu dan bukannya gempa susulan pada 2015 yang membunuh 18 orang, kata pakar geologi.

Prof Dr Felix Tongkul dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata tiada lagi gempa susulan yang dikaitkan dengan gempa bumi 2015. Tiada gegaran yang direkodkan dalam tempoh yang lama.

“Jadi, ini adalah gempa baharu,” kata Tongkul kepada FMT.

Lebih 100 gempa susulan dilaporkan direkod dalam tempoh setahun selepas gempa bumi pada 5 Jun 2015.

“Mungkin ada gempa susulan selepas gempa malam tadi tetapi kami harap ia bukan siri gempa bumi yang panjang,” kata Tongkul.

Gempa bumi malam tadi berlaku di barat laut Sabah kira-kira 9.06 malam dan menurut tinjauan Geologi Amerika Syarikat, ia berlaku pada pusat gempa lebih kurang 11km barat laut Ranau.

Menurut maklumat terkini dari laman web Jabatan Meteorologi, gempa bumi berlaku pada koordinat 6.0°N 116.6°E, pada kedalaman 5km.

Gempa susulan 2.8 magnitud dilaporkan berlaku berhampiran koordinat yang sama 21 minit kemudian, juga pada kedalaman 5km.

Sementara itu, gempa berukuran 5.9 magnitud pada 2015 berlaku kira-kira 30 saat, menyebabkan ratusan pendaki gunung dari 16 negara terkandas di Gunung Kinabalu.

Gempa bumi terkini dilaporkan menjadi yang paling kuat selepas gempa bumi pada 2015.

Kira-kira 130 pendaki, yang berada di kem induk malam tadi yang bercadang untuk mendaki ke puncak pada awal pagi ini, berkumpul di helipad yang digunakan sebagai lokasi perhimpunan kecemasan.

Enam daripada ahli Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar) kini berada di gunung sedang membantu mengumpulkan semua pendaki di helipad di Laban Rata.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun kemudian mengarahkan pendaki dan malim gunung turun ke ibu pejabat Taman Negara Sabah dan juga menangguhkan aktiviti pendakian buat sementara waktu.

Beberapa penduduk di Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Kota Marudu, Tuaran, Kudat dan Lahad Datu berkata mereka juga merasai gegaran tersebut.

Gempa bumi magnitud 5.2 landa Sabah