Guan Eng mahu polis siasat tweet palsu tutup UiTM

lim-guan-eng-twitter-uitm-1
Tangkap layar tweet palsu yang tersebar di WhatsApp dan platform media sosial lain.

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan membuat laporan polis berhubung catatan palsu di Twitter yang mendakwa Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan “memansuhkan Universiti Teknologi Mara (UiTM)” jika Pakatan Harapan berkuasa.

Pegawai penerangannya, Zaidi Ahmad berkata tangkap layar catatan Twitter itu tersebar di media sosial sejak semalam.

Tangkap layar itu menunjukkan tweet daripada akaun Twitter rasmi Lim, @cmlimguaneng, bagaimanapun ia tidak ditemui dalam Twitter.

“Tweet itu palsu dan Lim tidak pernah memuat naik perkara sebegitu. Kami akan membuat laporan polis hari ini,” kata Zaidi di Komtar hari ini.

Tweet dengan catatan masa 7.58 malam itu berbunyi: “Antara #ManifestoPH yang kita akan lancarkan adalah langkah penjimatan wang rakyat melalui pemansuhan UiTM seluruh negara. Peruntukan itu akan diagihkan sama rata kepada semua universiti kerajaan Pakatan Harapan nanti.”

Pada sidang akhbar sama, Lim menafikan beliau memuat naik status Twitter itu dan menyifatkannya “fitnah” serta berharap polis akan menyiasat perkara itu.