Hannah Yeoh kritik Splash atas gangguan bekalan air

water-supply-selangorKUALA LUMPUR: Adun Subang Jaya Hannah Yeoh hari ini mengkritik konsesi air, Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) atas masalah bekalan air.

Beliau berkata syarikat konsesi itu gagal menyediakan maklumat terkini status kerja membaik pulih lalu menyebabkan lebih banyak gangguan pada rutin harian isi rumah dan operasi perniagaan. Splash juga gagal bersedia untuk menghadapi semua hal luar jangka, katanya.

Isi rumah di daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air sejak 6 Mac.

Hannah berkata minggu lalu orang awam dimaklumkan gangguan bekalan air berjadual akan berlaku di kawasan-kawasan terjejas bagi memudahkan kerja-kerja membaik pulih peralatan kritikal dijalankan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) untuk tempoh 10 jam pada 6 Mac.

LRA SSP3 diurus oleh Splash, yang diberi konsesi 30 tahun oleh kerajaan negeri BN pada Januari 2000 untuk membina, menjalankan dan menyenggara SSP3. Teras perniagaan Splash ialah pengeluaran air terawat, yang dijual secara pukal kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

“Pada 6 Mac, kami dimaklumkan berkenaan letupan sistem mampatan udara di Loji Rawatan Air SSP3, menyebabkan kelewatan memulihkan bekalan air ke kawasan terjejas,” katanya.

Beliau berkata ini menyebabkan 500,000 isi rumah di Selangor mengalami kesulitan selama 4 hari dan seterusnya.

“Menteri besar Selangor (Datuk Seri Azmin Ali) terpaksa meminta Syabas/Air Selangor campur tangan bagi membantu Splash menyegerakan kerja membaik pulih di loji tersebut.”

“Saya tidak dapat bayangkan impaknya jika gangguan air berterusan sehingga Ahad ini sekiranya campur tangan tidak dilakukan oleh kerajaan negeri,” kata Hannah, dan menambah Splash sepatutnya lebih bersedia menghadapi kejadian seperti itu.

Beliau berkata pengurusan Splash harus bertanggungjawab atas kegagalan untuk bersedia menghadapi semua hal luar jangka, termasuk kecederaan yang dialami kakitangan di tapak loji tersebut.

“Pengurusan tertinggi Splash harus dipertanggungjawabkan dan rakyat Selangor mahu tindakan tegas diambil,” tambah Hannah.

Exco Selangor: Bekalan air dijangka pulih 6 petang esok