Rogol secara berkumpulan, 4 termasuk 2 beradik didakwa

rogol
Gambar AFP.

KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk 2 beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan merogol secara berkumpulan dan melakukan seks luar tabii terhadap kenalan mereka bulan lepas.

Mohd Zulhusni Shoeb, 23; Nurluqman Hanif Norhisam, 21; kedua-duanya jurujual telepemasaran dan Muhammad Amer Redzuan Mohd Tahir, 19, penjual burger, didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas seorang kerani 20 tahun di sebuah rumah di Taman Pandan Ria pada 10.30 malam 28 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh secara berasingan juga dituduh merogol mangsa sama di tempat dan tarikh sama, antara jam 9.00 dan 10.00 malam dan didakwa mengikut seksyen sama.

Sementara itu, Mohd Zulhusni, Nurluqman Hanif dan adiknya Nurluqman Danial Norhisam, 19, masing-masing didakwa menggunakan kekerasan jenayah iaitu dengan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa antara jam 10.45 dan 10.55 malam di tempat dan tarikh sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M Arunjothy tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Hakim Suzana Hussin tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin serta menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes.