Sanusi meninggal dunia semasa menunggu azan subuh, kata anak

Sanusi-Junid
Sanusi Junid sempat menghadiri majlis pelancaran manifesto Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, semalam.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid meninggal dunia semasa menunggu azan subuh pagi tadi.

Anak lelakinya, Akhramsyah berkata ayahnya meninggal dalam keadaan baik.

Sanusi-Anak
Akhramsyah berkata, bapanya meninggal dunia ketika bersiap sedia menunaikan solat subuh.

“Malam tadi pun dia hadir majlis (pelancaran) manifesto Pakatan Harapan. Bila balik tu keadaan sihat. Pagi tadi arwah bangun untuk sembahyang subuh ambil wuduk, duduk menunggu masa sembahyang.

“Masa azan, ibu dan adik saya perasan dia tak bangun untuk sembahyang. Tengok-tengok masa itu dia dah pergi.

“Arwah meninggal dunia berair sembahyang dan pada Jumaat, jadi Alhamdulillah,” katanya di kediamannya di Bangsar hari ini.

Sanusi-Daim-Zainuddin
Daim Zainuddin menyifatkan Sanusi sebagai kawan setia.

Jenazah Sanusi, 74, disembahyangkan di Masjid Saidina Umar di Bukit Damansara dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, selepas solat Jumaat.

Sanusi, bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar pernah memegang pelbagai jawatan Kabinet, termasuk menteri pertanian dan pembangunan luar bandar di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sanusi-Muhyiddin
Muhyiddin Yassin menyifatkan Sanusi seorang negarawan dan pejuang berani, tegas serta mempunyai rekod luar biasa.

Akhramsyah berkata, bapanya ketika berusia dalam lingkungan 40-an pernah menghidap beberapa penyakit, termasuk penyakit jantung.

“Semalam kebetulan dia buat ‘medical check up’ dan ‘it was clean medical check up’.”

Sementara itu, bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan Sanusi sebagai kawan setia.

“Dia akan berjuang untuk anda. Di masa dia setuju dengan apa-apa perkara, anda serahkan padanya.

“Dia (juga) seorang yang sangat berpengetahuan,” katanya yang kali terakhir menemui Sanusi 3 minggu lalu.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemergian Sanusi sebagai satu kehilangan kepada negara.

“Sejarah beliau cukup cemerlang, seorang negarawan, pejuang, berani, tegas, kreatif dan dalam tempoh hayatnya menerajui pelbagai kementerian, agensi, bank dan rekodnya agak luar biasa.

“Orang yang tak akan berdiam diri sehingga akhir hayatnya dan telah menyuarakan masalah negara, merasakan kebimbangan apa yang sedang berlaku hari ini.”

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, secara peribadi hubungan beliau dan Sanusi amat rapat kerana mereka pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

“Rekodnya agak sukar untuk ditandingi ramai tokoh, baik dalam kerajaan mahupun luar kerajaan.”

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum turut menyifatkan pemergian Sanusi sebagai kehilangan kepada negara, khasnya rakyat Kedah.

“Tan Sri Sanusi antara yang mempunyai jasa yang banyak, terutama petani di Kedah.

“Saya sebagai kawan dia, sahabat dia dan juga orang Kedah…kita kehilangan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada agama dan negara,” katanya yang kali terakhir berjumpa Sanusi bulan lalu.

Ahli Parlimen Kubang Pasu itu berkata, beliau banyak belajar daripada Sanusi.

“Ketika saya muda, saya banyak mengikuti beliau, ceramah beliau, ucapan beliau dan saya ada koleksi ucapan beliau dan buku-buku yang ditulisnya.”

 

Sanusi Junid meninggal dunia