Kajian Invoke untuk alih tumpuan isu air di Selangor, kata BN

Ahmad-Bashah-twitter
Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, janji PH menghapuskan dasasr pengimport makanan tunggal hanya sedap didengar bagi meningkatkan keterujaan rakyat menyokong parti itu. (Gambar Twitter)

 

ALOR SETAR: Kaji selidik Invoke Malaysia yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) mampu menang di Kedah, Perak, Johor, Selangor dan Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dibuat bagi mengalihkan isu air yang sedang berlaku di Selangor.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata kajian tersebut merupakan satu daripada cara Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengalih pandangan rakyat terhadap isu air di negeri itu.

“Dia (Rafizi) itu dari dulu macam tu. Dia tahu Selangor hendak tumbang, jadi dia jadikan kajian itu sebagai satu medium untuk alihkan pandangan rakyat mengenai isu-isu hangat yang sedang berlaku di sana.

“Cakap-cakap macam itu perkara biasa bila hendak PRU. Dia kata pembangkang boleh menang di Kedah, tapi kat sini saya nak bagi tahu Barisan Nasional (BN) yakin mampu kekalkan Kedah dan paling penting kita yakin mampu tawan Selangor,” katanya selepas merasmikan Hari Keluarga Parlimen Alor Setar di sini, hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Rafizi berhubung kaji selidik Invoke Malaysia yang menyatakan PH mampu menang di 5 negeri pada PRU14, selain menjangka parti itu akan menang di 89 kerusi Parlimen di Semenanjung, manakala BN menang di 76 kerusi.

Dalam pada itu, Bashah yang juga pengerusi BN negeri menyifatkan dakwaan PH mampu menang di Kedah seperti “mimpi di siang hari” kerana rakyat sudah pandai menilai janji kosong pembangkang.

“Rakyat sudah rasa bagaimana berada di bawah pentadbiran pembangkang, jadi mereka tidak mudah ditipu lagi. Jadi, kalau kata nak menang di Kedah itu seperti mimpi sahaja. Semua janji mereka (pembangkang) nyatakan itu hanya untuk tarik perhatian ahli, petugas dan rakyat sahaja.

“Tengok sahaja manifesto mereka, dulu cakap macam-macam pasal Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Siap kata kita bagi ‘dedak’, tapi sekarang tengok mereka sendiri menyenaraikan bantuan itu dalam manifesto PRU mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas manifesto PH menghapuskan dasar pengimport makanan tunggal, Bashah berkata, janji tersebut hanya “sedap didengar” bagi meningkatkan keterujaan rakyat menyokong parti tersebut.

“Kita hendak bantu meningkatkan pengeluaran hasil padi, sebab itu kalau hendak buat apa-apa keputusan kena fikir tentang nasib petani, tetapi mereka senang-senang sahaja mahu hapuskan dasar pengimport tunggal makanan,” katanya.

Invoke ramal PH tawan 5 negeri, PAS hilang semuanya