Zahid nasihat PPBM akur, ikut arahan JPPM elak dibubarkan

zahid-1KUALA LUMPUR: Timbalan perdana menteri menasihatkan PPBM akur dan mengikut arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan menyerahkan semua laporan atau dokumen berkaitan bagi mengelakkan parti itu dibubarkan.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, JPPM hanya mengambil tindakan berdasarkan perlembagaan PPBM dan Akta Pertubuhan 1966.

“Saya fikir tindakan yang dilakukan JPPM untuk meminta kepimpinan PPBM mengemukakan sepenuhnya (minit mesyuarat) dari cawangan, bahagian dan perhimpunan agung tahunan mereka hendaklah dikemukakan.

“Saya tidak berhasrat campur tangan di dalam soal pentadbiran dan pengurusan JPPM, maka pada hemat saya, PPBM harus memenuhi syarat-syarat sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan mereka sendiri,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-24 Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Maktab Polis Diraja Malaysia hari iini.

Semalam, Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim, berkata notis di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan mengkehendaki PPBM menjawab serta menyerahkan maklumat dan dokumen seperti minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti untuk melengkapkan siasatan.

Notis itu dikeluarkan susulan aduan “ahli PPBM” kepada JPPM. Surayati berkata, JPPM akan mengambil tindakan susulan di bawah Seksyen 14(5) untuk mengeluarkan perintah pembubaran terhadap PPBM, jika gagal menyerahkan maklumat dan dokumen diminta.

JPPM pada 12 Januari lepas berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan berkaitan perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama PPBM yang diadakan 30 Disember lalu.

Media melaporkan aduan itu membabitkan 5 perkara iaitu pelaksanaan AGM, pendaftaran keahlian tanpa pengetahuan penama, yuran keahlian, kronisme dalam pelantikan ketua bahagian dan kegagalan mengemukakan penyata kewangan.

Pemimpin pembangkang tidak konsisten

Sementara itu, Zahid menasihatkan rakyat menolak pemimpin pembangkang yang bersikap “flip-flop” pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Memang mereka merupakan pemimpim-pemimpin dan parti tidak konsisten.

“Pemimpin-pemimpin mereka merupakan pemimpin yang ‘flip-flop’ dari segi beri pendapat dan keputusan,” katanya mengulas manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan Khamis lalu.

Usul persempadanan semula

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, beliau akan berbincang dengan speaker Dewan Rakyat dan perdana menteri berhubung pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Tarikh belum ditentukan…kerana terdapat perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat. Selepas itu ada jawapan daripada menteri-menteri. Diikuti pembentangan rang undang-undang baru. Akta-akta baru.

“Saya sebagai ketua whip akan berbincang dengan ketua majlis Parlimen, iaitu perdana menteri dan berbincang dengan speaker bilakah tarikh pembentangan persempadanan semula.”

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilapor menyerahkan laporan akhir kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya persekutuan dan negeri kepada Datuk seri Najib Razak.

Hari ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilaporkan belum menerima sebarang notis mengenai pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 5 Mac lepas.

Katanya, kerajaan boleh membawa usul itu dalam tempoh 24 jam untuk pembentangan di Dewan Rakyat.

Siasatan kerugian forex BNM

Zahid berkata, siasatan kerugian berbilion ringgit yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing (forex) pada awal 1990-an dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berdasarkan laporan polis diterima selepas Suruhanjaya Siasatan Diaja (RCI) menyelesaikan tugas mereka.

“Kita tunggu keputusan dan pengumuman daripada ketua polis negara mengenai perkara itu.”

RCI menyerahkan laporan setebal 400 muka surat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober lalu dan diedarkan kepada 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 30 November lalu.

RCI dalam laporannya menyalahkan bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung BNM pada 1992 hingga 1994 dan turut menyimpulkan Tun Dr Mahathir Mohamad merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu “menyembunyikan fakta dengan sengaja”.

Sehubungan itu, RCI mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan ketika itu, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

Setiausaha RCI, Datuk Yusof Ismail membuat laporan polis pada 30 November lalu dengan berkata, ia bagi membolehkan polis menyiasat jenayah pecah amanah, penipuan dan kesalahan lain.