Jaguh badminton kritik peraturan servis baru

Lee-Chong-Wei-badminton-malaysia
Lee Chong Wei yang akan bermain pada All England Open, berkata beliau terpaksa membuat penyesuaian dalam permainannya. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Satu peraturan baru dalam badminton yang mungkin memberi kesan buruk kepada ramai pemain lebih tinggi, dikritik hebat beberapa jaguh sukan tersebut, lapor media tempatan.

Peraturan itu menggariskan, bulu tangkis haruslah dipegang kurang 1.15m dari permukaan gelanggang sebelum membuat servis dan bakal diguna pakai pada kejohanan All England Open di Birmingham yang akan berlangsung pada 14-18 Mac.

Pemain nombor 2 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengkritik peraturan servis baru itu, yang dikuatkuasa bermula 1 Mac.

“Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sepatutnya memilih untuk mencuba peraturan baru itu pada kejohanan lebih kecil,” kata Lee sebagaimana dipetik akhbar New Straits Times, Jumaat lalu.

Lee yang akan bermain pada kejohanan All England Open, berkata, beliau terpaksa melakukan penyesuaian dalam cara bermain.

“Jika saya melakukan kesilapan semasa membuat servis pada kejohanan All England, saya akan minta pengadil jelaskan cara betul untuk melakukannya,” katanya.

Lee berketinggian 1.72m, iaitu lebih rendah berbanding beberapa pemain terbaik dunia lain.

Pada Januari, pemain nombor 1 dunia, Viktor Axelsen yang berketinggian 1.94m, dipetik akhbar The Star, menyifatkan peraturan baru itu “mengarut”.

Dalam satu video dimuat naik pada April 2017, Axelson dilihat mengejek peraturan itu dengan mencangkung dan melutut semasa membuat servis pada satu sesi latihan.

Dalam status dimuat naik pada November 2017 di laman web BWF, presidennya Poul-Erik Hoyer dipetik berkata, pihaknya “sedang mencari cara baru bagi menambah baik bagaimana peraturan servis itu diguna pakai”.

Pegawai BWF bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk komen.