Kerajaan pusat kaji guna Akta 655 selesai perjanjian air Selangor

krisis-air-selangor-water-supply
Gambar Reuters.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, kerajaan pusat boleh menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) untuk menyelesaikan penyusunan air di Selangor, atas faktor keselamatan negara.

Menteri tenaga, teknologi hijau dan air itu berkata, jika situasi di Selangor berterusan, kerajaan pusat akan mengkaji pilihan dari segi perundangan, termasuk meneliti penggunaan Akta 655.

“Tapi saya harap ada konsep ‘willing buyer willing seller’ di mana saya tak perlu isytihar bagi pihak kerajaan persekutuan untuk darurat air dan akta itu akan jalan, di mana ia akan dikawal oleh kerajaan persekutuan. Saya mahu elakkan itu,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) yang mencadangkan kerajaan pusat menggunakan Akta 655 ke atas negeri yang belum melaksanakan penyusunan semula air.

Khalid berkata, kerajaan pusat mempunyai klausa di bawah Akta 655 untuk menyelesaikan penyusunan semula air di Selangor.

Maximus menyifatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali “tidak mempunyai tulang belakang” untuk menawarkan harga bagi pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

“Yang lain itu dah selesai, tapi hanya satu sahaja yang belum selesai. Sebutkan harga, buat tawaran kepada Splash, Splash katakan terima…saya duduk bersama 2 pihak untuk mengatakan berapa banyak duit anda perlukan dari segi persekutuan.

“Sudah 3 kali perjanjian ditangguhkan hanya kerana menteri besar Selangor dan Selangor keseluruhan takut bayang-bayang Bandar Tun Razak (Khalid).

“Kalau tak, anda menyebabkan orang ramai merana, semua halangan dan catuan oleh kerajaan Selangor.”

Puncak Niaga Holdings Berhad menerima tawaran kerajaan Selangor mengambil alih semua ekuiti, aset dan liabiliti 2 syarikat konsesi air miliknya – Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014.

Ia menyusul pemegang saham Konsortium Abass Sdn Bhd yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air pada harga RM900 juta.

Penyatuan aset air masih berterusan kerana pengambilalihan Splash belum selesai.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dilaporkan berkata, kerajaan Selangor diberi masa 4 bulan sehingga Julai depan untuk bersetuju melaksanakan proses migrasi bagi mengelakkan krisis air di negeri itu menjadi lebih buruk.

Beliau berkata, banyak implikasi yang akan berlaku antaranya Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang siap menjalani proses pengujian dan pentauliahan, tidak dapat digunakan.

Katanya, Selangor dan negeri lain yang tidak melaksanakan proses migrasi juga terpaksa menampung perbelanjaan tinggi untuk pembinaan loji, mengganti paip dan kerja penyelenggaraan lain.

Beliau memberi contoh sekurang-kurangnnya RM3 bilion hingga RM8 bilion diperlukan bagi kos pembinaan LRA serta kerja baik pulih infrastruktur, dan tiada syarikat yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sebanyak itu.