Penduduk Bajau di Kota Belud masih sokong BN

rahman-5
Kota Belud terkenal sebagai pekan koboi Sabah dan kuda padi tempatan ialah maskot daerah itu.

KOTA KINABALU: Kota Belud terkenal dengan lelaki Bajau berkuda berpakaian warna-warni yang biasanya menjadi tarikan utama semasa perarakan di Sabah.

Setahun sekali, pengunjung akan berkumpul di sana untuk Tamu Besar yang menampilkan pelbagai pilihan makanan dan kraftangan tradisional, serta pertandingan lumba kerbau di sawah padi.

Inilah naratif sosial unik di daerah pantai barat Sabah dengan majoriti penduduknya adalah orang Bajau.

Satu lagi aspek menarik tentang bandar ini ialah senarai ahli politik terkenal, termasuk 3 bekas ketua menteri, Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Mohammad Said Keruak, kedua-duanya pernah berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri dan gabenor.

Said Keruak adalah bapa kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Speaker Dewan Rakyat sekarang, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga berasal dari Kota Belud.

Semuanya, sejak pilihan raya langsung pertama Sabah pada 1967, pernah mewakili Usukan, 1 daripada 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kota Belud. Dua kerusi DUN lain adalah Tempasuk dan Kadamaian.

Adun Usukan sekarang adalah Salleh, yang dilantik sebagai senator untuk membolehkan beliau menjadi menteri persekutuan.

Termasuk Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, ahli Parlimen Kota Belud yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, bandar kecil itu kini mempunyai 2 menteri persekutuan.

Pekan koboi sunyi itu kini menyaksikan pembangunan pesat beberapa tahun kebelakangan ini.

Kawasan Parlimen itu yang hampir sama saiznya dengan Melaka, mempunyai kira-kira 93,000 penduduk pelbagai etnik, terutamanya Bajau dan Illanun di bandar dan pesisir pantai, serta Dusun di kawasan pedalaman. Kota Belud mempunyai 57,710 pengundi berdaftar.

Rahman ialah ahli Parlimen Kota Belud selama 2 penggal. Beliau memenangi kerusi itu pada 2008 dengan kelebihan 3,020 undi dan mengekalkan kemenangan itu pada 2013 dengan mengalahkan pencabar terdekat, Isnaraissah Munirah Majilis daripada PKR dengan majoriti lebih besar 5,095 undi.

Munirah kemudiannya menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai ketua Wirawati parti pembangkang tempatan itu.

rahman-3
Kota Belud adalah kerusi campuran dengan lebih 40% pengundi bukan Islam.

Kira-kira 58% pengundi ialah Bumiputera Islam, 40% Bumiputera bukan Islam dan 2% lagi pengundi Cina.

Menurut pejabat perhubungan Parlimen Kota Belud, kebanyakan penduduk di daerah itu bekerja dalam industri pertanian dan perikanan.

Ia tidak mengejutkan, dengan banyak tanah subur di Kota Belud, kerajaan persekutuan dan negeri melabur RM1 bilion untuk menaik taraf sistem mitigasi banjir dan pengurusan air di sana. Kira-kira 10,000 hektar tanah ditanam dengan padi sejak 2015.

rahman-2
Majlis pecah tanah untuk Bazar Rakyat Kota Belud.

“Dari segi projek mega, Kota Belud menyaksikan 1,000 rumah dibina di bawah Projek Perumahan Rakyat dan sebuah bazar rakyat baharu dalam pembinaan.

“Dataran Kota Belud juga menjadi tarikan baharu di tengah pekan itu,” kata Rahman.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka melawat kawasan itu bagi merasmikan Politeknik Kota Belud tidak lama lagi.

Politeknik baharu itu adalah idea Rahman yang akan menyediakan peluang latihan dalam pelbagai kemahiran kepada belia tempatan untuk meningkatkan peluang mereka diambil bekerja atau memulakan perniagaan sendiri.

Daerah itu juga menjadi sebahagian segmen Lebuhraya Pan Borneo.

Kerajaan membina jalan lencongan di pekan Kota Belud dan jalan 24km Malangkap Piasau-Gaur yang menghubungkan Dusun di Kota Belud ke jalan persekutuan.

Di sebalik projek itu, Kota Belud masih menghadapi banyak masalah seperti banjir yang semakin teruk sejak gempa 2015, tekanan air rendah yang menjejaskan ribuan pengguna, kekurangan rangkaian jalan terutamanya di Kadamaian dan peluang pekerjaan.

rahman-1
Majlis pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di Kota Belud tahun lalu.

Masalah banjir sangat teruk tahun lepas, di mana lebih 2,500 mangsa terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka ditenggelami air susulan hujan lebat selama 2 hari.

Kadangkala, banjir berlaku walaupun tidak hujan.

Ini kerana serpihan runtuhan daripada gempa di Kundasang di kaki Gunung Kinabalu mengalir ke sungai Kadamaian, Tempasuk dan Abai yang menyebabkannya cetek serta cenderung melimpah dari tebing.

Untuk menyelesaikan masalah ini, kerajaan mendalam dan meluruskan sungai Kadamaian dan sungai lain sebagai langkah sementara mitigasi banjir.

“Kerja jangka panjang akan dilakukan di sungai untuk meminimumkan banjir pada masa depan,” kata Rahman.

rahman-4
Mangsa banjir ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Kota Belud tahun lalu.

Bagaimanapun, parti pembangkang menggunakan isu itu untuk kelebihan mereka dengan mendakwa Rahman mahupun Salleh tidak turun padang semasa kemuncak krisis banjir tahun lepas.

Sebaliknya, pemimpin pembangkang yang bekerja keras melawat mangsa di pusat pemindahan dan mereka yang terperangkap di rumah.

Mereka menggunakan isu itu untuk bencana mempersoalkan keikhlasan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Kota Belud, terutamanya Rahman, Salleh dan Pandikar.

“Apapun, masih tiada alasan kukuh untuk rakyat menolak BN pada pilihan raya umum akan datang, khasnya di Usukan dan Tempasuk kerana pengundi di 2 kerusi itu setia kepada BN sekian lama,” kata seorang penyokong BN.

Dua kerusi DUN itu pada mulanya dipegang Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang dipimpin Datu Mustapha, tetapi parti itu dibubarkan pada awal 1990-an bagi membolehkan ahlinya menyertai Umno.

Ada cakap-cakap yang Rahman akan ke kawasan Sepanggar, menggantikan Datuk Jumat Idris yang digantung keahlian dalam Umno selama 6 tahun. Ada spekulasi mengatakan jika Rahman diturunkan di Sepanggar, Salleh akan bertanding di Kota Belud.

Tetapi, bekas menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, Kota Belud masih “sangat dekat di hati saya”.

“Jangan buat spekulasi. Saya sayang Kota Belud. Ia sentiasa dekat di hati saya. Saya ada ramai ahli keluarga tinggal di Kota Belud. Saya sudah lakukan terbaik sejak 10 tahun lalu.”

Salleh yang menjadi ketua menteri Sabah sejak 1994 kepada 1996 percaya “deposit tetap” Sabah itu akan terus menyokong BN kerana “rakyat tahu parti itu ikhlas dalam memberikan pembangunan dan kestabilan politik kepada negara”.

Sementara itu, Pandikar menyuarakan hasrat bertanding pada pilihan raya umum akan datang. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen atau DUN.

Kadamaian, sebuah kawasan majoriti orang Kadazandusun dan Murut, dimenangi calon PKR, Jeremy Malajad pada 2013 sebelum beliau menyertai parti komponen BN, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang diketuai Tan Sri Joseph Kurup.

Kerusi DUN ke-3 adalah Tempasuk yang dipegang wakil rakyat Umno, Datuk Musbah Jamli.