Switzerland digesa pinda undang-undang pulangkan wang 1MDB kepada Malaysia

1mdb-reuters
(Dari kiri) Pengarah Bersih Global, Bala Chelliah, wakil rakyat Carlo Sommaruga, Pengarah C4 dari Malaysia Cynthia Gabriel dan aktivis Bruno Manser, Lukas Straumann, di bangunan Parlimen Switzerland di Bern, semalam. (Gambar Reuters)

BERN: Seorang ahli parlimen Switzerland mendesak kerajaannya meminda undang-undang mengenai kaedah mengurus keuntungan haram yang dirampas pihak berkuasa, dan membuka jalan bagi mengembalikan lebih AS$100 juta (RM389 juta) yang dikaitkan dengan skandal 1MDB kepada rakyat Malaysia.

Walaupun kerajaan Switzerland menolak gesaan itu dengan berkata tidak terdapat kuasa undang-undang bagi mengembalikan dana itu yang akan mengalir ke dalam belanjawan negara itu, ia tidak menutup sepenuhnya kemungkinan sebaliknya.

“Reputasi antarabangsa Switzerland tergugat sekiranya ia mengetepikan tuntutan sah daripada Malaysia,” kata Carlo Sommaruga, wakil rakyat parti Sosial Demokrat beraliran kiri-sederhana yang mengepalai usaha pindaan undang-undang itu.

Kerajaan Switzerland memberitahu ia mengambil langkah proaktif dalam mengembalikan harta regim yang ditumbangkan yang terdapat di negara itu. Antaranya ialah sejumlah AS$684 juta dikembalikan kepada Filipina, AS$700 juta kepada Nigeria dan AS$163 juta kepada Kazakhstan.

Namun begitu, keuntungan bank yang dirampas adalah isu berlainan.

Kempen itu menyambut tekanan bagi mengembalikan wang yang dirampas oleh bank dalam kes 1MDB yang melibatkan penyiasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Switzerland, AS dan Singapura.

Cynthia Gabriel, pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, hakikat bahawa kerajaan Malaysia tidak menuntut dana itu menyulitkan keadaan. Aktivis berharap kemenangan di pihak pembangkang dalam pilihan raya tahun ini boleh mengubah keadaan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menubuhkan 1MDB pada 2009 dan pernah memegang jawatan pengerusi lembaga penasihat. Beliau dan pengurusan 1MDB menafikan sebarang salah laku.

Sejumlah AS$4.5 bilion digelapkan oleh pegawai atasan dana itu dan rakan sekutu mereka, menurut saman sivil yang difailkan di Jabatan Kehakiman AS.

Usul Sommaruga cuba menangani beberapa kes korupsi berprofil tinggi yang menyaksikan pentadbir dan pendakwa perbankan Switzerland merampas lebih AS$300 juta keuntungan bank melibatkan pelanggan dari Malaysia, Brazil dan Nigeria.

Pengawal kewangan Finma merampas 104 juta francs Switzerland (AS$110 juta) keuntungan haram daripada urus niaga melibatkan 1MDB oleh bank BSI, Falcon Private Bank dan Cout & Co sejak pertengahan 2016. Kes BSI dan Falcon masih di peringkat rayuan.

Aktivis berkata, Switzerland boleh memulakan duluan di peringkat antarabangsa tentang kaedah untuk mengurus harta yang dirampas daripada 1MDB, seperti kapal layar mewah yang dirampas di Bali bulan lepas dan kini diserahkan oleh Indonesia kepada pihak berkuasa AS.

“Keuntungan daripada korupsi hendaklah dikendalikan sama seperti wang pemerintah kuku besi yang dirampas dan dikembalikan berdasarkan prinsip yang sama,” kata Lukas Straumman, aktivis dari Tabung Bruno Manser, sambil mendesak Switzerland “menutup lubang (undang-undang) yang besar” itu.