
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membuka tender bagi memilih 2 buku teks bahasa Inggeris menepati panduan Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR) dan mempunyai kandungan tempatan, kata Timbalan Menterinya, Datuk Chong Sin Woon.
Chong berkata, ia bagi menggantikan 2 buku teks import “Super Mind” dan buku ‘Pulse 2’ yang mula digunakan tahun ini.
“Kurikulum yang diselaraskan dengan CEFR, iaitu panduan yang dibangunkan Majlis Eropah bagi mengukur kemahiran bahasa asing memerlukan buku yang menepati standard tersebut, namun buku yang menepati panduan itu masih belum ada dalam pasaran tempatan.
“Bagaimanapun kita membuka tender dan jawatankuasa sedang memilih syarikat yang boleh membekalkan buku tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zairil Khir Johari (DAP-Bukit Bendera) yang meminta kementerian menjelaskan mengapa buku teks bahasa Inggeris KSSR dan KSSM untuk Tahun 1 bagi tahun lepas digantikan dengan buku teks import.
Berdasarkan pekeliling bertarikh 16 Ogos 2017 dan 12 September 2017, semua pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 akan menggunakan buku ”Super Mind”, manakala pelajar Tingkatan 1 dan 2 menggunakan buku ”Pulse 2” sebagai buku teks Bahasa Inggeris bermula tahun ini.
Chong menafikan 2 buku teks import tersebut menggantikan buku teks asal, sebaliknya buku teks import itu digunakan bersama-sama buku teks sedia ada.
Menjawab soalan tambahan Datin Mastura Yazid (BN-Kuala Kangsar) berkenaan bilakah KPM akan melaksanakan penggunaan sepenuhnya ”e-buku teks” dalam proses pembelajaran dan pengajaran, Chong berkata, perkara tersebut masih dikaji.
“KPM dalam proses membuat kajian beberapa buku teks untuk dijadikan buku digital. Kita juga mengambil kira jika dilaksanakan nanti, bagaimana dengan pengunaan gajet, adakah murid perlu membawa sendiri atau sekolah perlu bekalkan, juga dari segi kos, jika semuanya diteliti, kita akan umumkan,” katanya.