Zahid: Parlimen bubar selepas lulus usul persempadanan semula

ahmad-zahid-hamidi-fmt-11-ns

PETALING JAYA: Timbalan perdana menteri mengesahkan Parlimen akan dibubarkan selepas usul persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat dan diperetujui Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipetik Sin Chew Daily berkata, usul itu akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dibahaskan di Dewan Rakyat, tetapi ia tidak perlu dibawa ke Dewan Negara.

Katanya, usul persempadanan semula itu hanya memerlukan majoriti mudah, iaitu 111 daripada 220 ahli Parlimen kerana 2 lagi ahli Parlimen meninggal dunia.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Zainudin Ismail meninggal dunia Disember lalu dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail meninggal dunia bulan lalu. Kedua-duanya mewakili BN.

Zahid yakin usul itu boleh diluluskan dengan sokongan semua 132 ahli Parlimen Barisan Nasional.

“Itu sahaja yang saya boleh beritahu. Ini adalah maklumat rasmi yang kita ketahui, tarikh pembubaran saya tidak tahu, tarikh mengundi pun saya tidak tahu,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Zahid berkata, Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 5 April ini, disusuli Dewan Negara yang akan bersidang mulai 16 hingga 30 April nanti.

Ketua whip BN itu berkata, usul persempadanan semula akan dibentangkan selepas perbahasan ucapan Agong dan akta lain dibentangkan.

“Selepas perdana menteri membentangkan usul persempadanan semula untuk bacaan pertama, ahli Parlimen mempunyai masa seminggu untuk mendapatkan dan membaca dokumen terkini persempadanan semula, kemudian perbahasan dan proses pengundian untuk meluluskannya akan dijalankan.”

Mandat BN akan tamat 24 Jun ini dan Parlimen akan terbubar secara automatik, serta pilihan raya umum ke-14 (PRU14) perlu diadakan dalam 60 hari, jika tidak diadakan lebih awal.

Gabungan 13 parti itu mahu mendapatkan semula majoriti 2/3 di Parlimen, selepas kehilangannya sejak PRU 2008.