Hanya pemimpin BN tak dibebani GST, kata Guan Eng

beli-barang-gst-malaysiaGEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini membidas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana mendakwa penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai langkah terkebelakang.

Lim merujuk kenyataan Liow menyifatkan manifesto Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST sebagai tidak praktikal.

Liow berkata, GST diiktiraf ramai dan merupakan cukai nilai tambah berkesan yang diperkenalkan lebih 160 negara.

Lim berkata, kenyataan Liow menunjukkan beliau kurang kesedaran tentang beban GST ke atas rakyat.

“Anda lihat kenyataan Liow. Dia menentang pemansuhan GST. Dia sokong GST. Dia tidak menyedari begitu banyak penderitaan yang ditanggung akibat GST.

“Hanya pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak menderita – seperti Liow, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

“Yang lain menderita,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Lim berkata, apabila kerajaan negeri membina jalan, dewan orang ramai, sistem perparitan serta menaik taraf pasar, ia juga perlu membayar GST.

“Ini tidak betul. Sebab itulah ada pilihan jelas untuk rakyat Malaysia.”

Beliau memberi contoh bagaimana Singapura meningkatkan kadar GST daripada 7% hingga 9%, walaupun laporan menyatakan kenaikan itu hanya akan berkuat kuasa antara 2021 dan 2025.

Katanya, kenaikan kepada 9% juga bermakna GST akan bertambah 3 kali ganda sejak diperkenalkan pada 1990-an, kemudian pada kadar 3%.

“Itu sebabnya kita mesti hapuskan GST supaya ia tak boleh dinaikkan lagi. Mesti hapus sekarang,” katanya.

Setiausaha agung DAP itu turut mempelawa Liow berdebat dengannya berhubung terowong dasar laut Pulau Pinang dan 3 projek jalan utama.

Hanya dengan menyahut cabaran itu, katanya, Liow boleh menunjukkan beliau mampu berdepan Umno dan menuntut kerusi Parlimen Bandar Tun Razak kekal milik MCA.

“Dia mesti tunjuk dia berani lawan. Tunjuk dia pemimpin nombor 1 MCA dengan cabar saya berbahas.

“Bukan (timbalan presiden MCA) Wee Ka Siong, nombor 2 cabar saya. Mesti nombor 1 lawan nombor 1. Kami akan pertimbangkan dan sedia terima cabaran.

“Jangan lari. Berdepan cabaran bahas supaya anda boleh berdepan Umno dan minta kerusi yang anda tandingi pada pilihan raya umum (PRU) lepas…kemudian anda boleh menunjukkan anda layak mendapatkan kerusi Bandar Tun Razak.

“Sekarang Najib beri gambaran jelas ia harus ditandingi Umno. Macam mana nak tanding di Bandar Tun Razak kalau tak boleh tunjuk anda ada kewibawaan pemimpin nombor 1? Tak berani cabar berbahas, tapi serahkan pada nombor 2.”

Selain Bandar Tun Razak, kerusi Parlimen Cheras, Seputeh, Bukit Bintang dan Wangsa Maju semua kerusi tradisional MCA.

Liow baru-baru ini menafikan MCA akan melepaskan kerusi Bandar Tun Razak kepada Umno pada PRU14.