Hishammuddin: Malaysia-Thailand pastikan sempadan bersama bebas pengganas

pengganas-reuters
Gambar Reuters

BANGKOK: Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama bagi memastikan sempadan bersama tidak dieksploitasi oleh keganasan melampau dan pengganas, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin, yang berada di sini untuk menghadiri mesyuarat ke-54 Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Thailand berkata, kedua-dua negara berjiran itu akan memerangi ancaman ini bersama-sama.

“Kami bersetuju adalah penting kita mengekalkan dan mempertingkatkan hubungan rapat antara kedua-dua negara di semua peringkat agar kita dapat mengelak sempadan bersama daripada dieksploitasi oleh keganasan melampau dan pengganas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha hari ini.

Menurut Hishammuddin, beliau dan perdana menteri mengadakan perbincangan yang sangat produktif dengan kedua-dua mereka menyentuh tentang isu melibatkan kepentingan bersama yang terus memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Thailand.

Dalam pertemuan yang berlangsung di pejabat Prayut, Hishammuddin berkata perdana menteri memberi penekanan terhadap usaha Malaysia dalam mempelopori bantuan kemanusiaan untuk pelarian Rohingya.

“Kami berdua bersetuju krisis kemanusiaan mesti diselesaikan bersama oleh negara di Asia Tenggara untuk mengurangkan risiko pelarian ini daripada dieksploitasi oleh kumpulan pelampau seperti Islamic State (IS),” katanya.

Malaysia dan Thailand, kata menteri pertahanan, komited untuk menghulurkan bantuan dalam situasi kemanusiaan di Bangladesh untuk memastikan ia tidak dijadikan sebagai asas untuk mencetuskan konflik.

Hishammuddin dan Prayut turut bersetuju kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara perlu dipertingkatkan, dengan memberi tumpuan kepada dimensi lain seperti ekonomi, sosial, kebudayaan, keselamatan siber dan pertahanan serta hal ehwal antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia dan Thailand akan mewujudkan talian hotline terus antara agensi berkaitan untuk memastikan talian komunikasi terus kekal dan kena pada masanya.

Terdahulu, Hishammuddin dan Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan mengadakan pertemuan tertutup sebelum bermulanya mesyuarat GBC, yang dianjurkan bergilir-gilir oleh kedua-dua negara.

Menurut Hishammuddin, beliau dan Prawit, yang juga Menteri Pertahanan, berbincang panjang lebar tentang ancaman IS yang semakin memuncak di rantau ini, pasca Marawi dan memperteguhkan komitmen mereka untuk meningkatkan kerjasama pertahanan bagi memastikan rantau ini kekal selamat bagi rakyat kedua-dua negara.

Dalam pertemuan itu, beliau dan rakan sejawatannya turut mengarahkan kementerian dan angkatan tentera untuk memulakan perancangan bagi Eksesais Bersama kali ke-4 Malaysia-Thailand yang akan memberi tumpuan kepada operasi Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (HADR).

Kedua-dua negara akan meneroka kemungkinan mempelawa ASEAN dan negara sekutu sebagai pemerhati atau peserta dalam eksesais itu, kata Hishammuddin.

Menurutnya, mesyuarat tahun ini mengetengahkan keperluan untuk terus meningkatkan operasi bersama di sempadan darat dan maritim, selain memperbanyakkan pertukaran maklumat berkaitan jenayah rentas negara untuk memberi keyakinan kepada penduduk di sempadan bersama.

Bangkok, kata beliau, turut mengambil maklum peranan positif yang dilaksanakan Malaysia selaku pemudahcara bagi dialog damai selatan Thailand.

“Malaysia terus komited dalam memastikan semua pihak meneruskan rundingan dan memastikan keamanan bagi penduduk di kawasan ini,” katanya.

Mesyuarat GBC ke-55 akan diadakan di Malaysia tahun depan.