Isu air: Azalina nafi BN sabotaj kerajaan Selangor

azalina
Gambar Twitter

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menafikan dakwaan kerajaan Barisan Nasional (BN) mensabotaj kerajaan Selangor dalam isu gangguan bekalan air selama 4 hari, minggu lalu.

Beliau berkata, jika kerajaan BN mensabotaj kerajaan Selangor, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili tidak akan mencadangkan cara penyelesaian masalah air di negeri itu.

“Dia nak kata kerajaan BN sabotaj, tapi isu air ini begitu lama. Kalau kita ikhlas untuk rakyat, kita kena selesai, takkan rakyat berhari-hari tak ada air.

“Takkan Maximus boleh sebut dalam Dewan Rakyat penyelesaian dalam perjanjian itu mesti ada komitmen. Kalau nak, pilih wakil rakyat yang letak keutamaan pada rakyat,” katanya pada satu sesi perjumpaan di International Arbitration Centre Malaysia (AIAC) hari ini.

Selasa lalu, Maximus dilaporkan berkata, Putrajaya sedia membantu kerajaan Selangor mengambil alih Splash, jika Datuk Seri Azmin Ali mengemukakan tawaran untuk mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

Katanya, kerajaan pusat akan mengkaji pilihan dari segi perundangan, termasuk meneliti Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) untuk menyelesaikan penyusunan air di Selangor, atas faktor keselamatan negara.

“Bagaimanapun, saya harap akan ada ‘willing buyer, willing seller’ supaya kita tidak perlu gunakan Akta 655,” katanya di Dewan Rakyat.

Azmin yang juga menteri besar Selangor pada hari sama berkata, kerajaan negeri memerlukan laporan daripada penilai bebas dilantik Putrajaya, sebelum boleh menawarkan nilai pengambilalihan Splash.

Katanya, kerajaan negeri belum menerima sebarang maklumat baharu sehingga kini, selepas membawa isu pengambilalihan Splash ke Dewan Rakyat pada sidang lalu.

“Jangan salah-menyalah mana-mana pihak. Kita nak selesaikan masalah ini secepat mungkin, tapi kerajaan persekutuan dan negeri perlu bekerjasama.

“Kita dah serah laporan kita, tapi mereka (kerajaan pusat) belum serah laporan mereka kepada kita,” katanya.

Kerajaan pusat kaji guna Akta 655 selesai perjanjian air Selangor

Azmin: Selangor tunggu laporan penilai untuk tawar nilai ambil alih Splash