Kami bantu mangsa ah long secara percuma, kata PPIM

PPIM-lead-activist-Nadzim-Johan
Gambar Twitter.

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan mereka mengenakan caj ke atas mangsa ah long yang meminta bantuan daripada organisasi itu.

PPIM menjawab dakwaan bekas pekerjanya, mereka mengenakan caj sebanyak 10% selain caj tambahan lain terhadap mangsa ah long yang meminta perlindungan dan bantuan menyelesaikan bayaran hutang tertunggak dengan ah long.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menyangkal dakwaan itu dan memberitahu FMT yang PPIM tidak meminta sebarang bayaran daripada mereka yang meminta bantuan.

“Di mana kami boleh bantu, kami bantu secara percuma. Ini termasuklah memberi nasihat kepada orang ramai, mesyuarat dan berunding dengan pihak berkaitan.

“Tetapi, ada perkara yang memerlukan kepakaran luar atau perkhidmatan profesional, seperti bantuan undang-undang, perakaunan dan sebagainya.”

Katanya, perunding itu akan mengenakan caj maksimum 10% untuk perkhidmatan profesional mereka, tetapi mangsa yang meminta bantuan PPIM tidak wajib menggunakan perkhidmatan panel perundingnya.

“Yuran maksimum 10% dikenakan perunding kepada pelanggan. PPIM tidak terlibat mahupun mendapat keuntungan daripadanya.

“Jika seseorang mahu menggunakan perunding lain, mereka bebas berbuat demikian. Kami masih akan memainkan peranan untuk memberi nasihat dan menyelia secara percuma.”

Nadzim berkata, resit untuk perkhidmatan rundingan luar akan dikeluarkan perunding, bukan PPIM.

Katanya, jika panel perunding mereka didapati tidak beretika, PPIM tidak ragu-ragu mengeluarkan mereka daripada senarai perunding.

Beliau berkata, 5 perunding sudah dikeluarkan daripada senarai itu, setakat ini.

Nadzim berkata, panel perunding luar PPIM termasuk 2 syarikat dikenali sebagai Semboyan 1Malaysia (S1M) serta Risk Group Management and Consultancy yang diketuai Yusuf Azmi yang juga pengarah Unit Tindakan Khas PPIM.

“Saya tidak rasa ada konflik kepentingan dengan Yusuf menjadi sebahagian daripada PPIM dan syarikatnya menjadi panel perunding kami kerana tiada paksaan untuk sesiapa yang meminta bantuan kami berbincang dengan perunding luar PPIM.”

Nadzim berkata, walaupun perunding luar tidak wajib memberi balasan kepada PPIM, kumpulan pengguna itu akan mengutip sumbangan apabila pihaknya memerlukan dana untuk menganjurkan program.

“Menjalankan forum dari semasa ke semasa tidak murah. Jadi, apabila kami mahu menganjurkan acara, kami mengumpul dana dengan meminta sumbangan daripada semua orang, daripada perunding luar kami sehinggalah kerajaan dan sektor swasta.”

Nadzim turut menafikan Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa yang mengakui dirinya bekas pekerja PPIM.

Katanya, Syed Alwi adalah bekas pekerja Yusuf di satu daripada 2 firma perunding itu.

Dengan memetik fail sulit, Syed Alwi mendakwa ada masanya mangsa dikenakan bayaran melebihi jumlah hutang mereka dengan ah long.

Isnin lalu, Yusuf membuat laporan polis terhadap Syed Alwi dan 3 yang lain atas dakwaan mencuri fail penting mengenai ah long dari pejabat PPIM.

Tetapi Syed Alwi berkata fail-fail tersebut tidak hilang dan masih ada di pejabat PPIM.

PPIM dituduh kaut untung daripada mangsa ah long