PPIM dituduh kaut untung daripada mangsa ah long

PPIM-ah-long

PETALING JAYA: Sebuah badan pengguna selama ini mengenakan caj terhadap mangsa ah long atas perkhidmatan melepaskan mereka daripada hutang, dakwa bekas pekerjanya.

Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa, berkata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenakan caj sebanyak 10% selain caj tambahan lain terhadap mangsa ah long yang mendekati mereka untuk meminta bantuan perlindungan dan menguruskan bayaran hutang tertunggak mereka dengan ah long.

Syed Alwi berkata ada masanya mangsa dikenakan bayaran lebih daripada jumlah yang mereka berhutang dengan ah long. Maklumat tersebut didakwa diketahui menerusi fail sulit kumpulan itu.

Beliau memberi contoh seorang wanita yang berhutang RM350,000 kepada 64 ah long dengan caj pentadbiran sebanyak RM35,000. Selepas berunding, Syed Alwi berkata, jumlah yang ditetapkan ah long adalah RM160,000.

“Pengadu itu sudah membuat bayaran berjumlah RM260,000 melibatkan 64 ah long. Jika diikutkan bayaran kepada ah long sepatutnya sudah dijelaskan tetapi tidak berlaku, menyebabkan pengadu terus diganggu,” kata Syed Alwi, yang mendedahkan perkara itu bersama 4 bekas pekerja PPIM yang lain pada sidang akhbar semalam.

“Akhirnya saya sendiri bongkarkan keadaan sebenar demi mengembalikan hak pengadu. Pada saya, ini penindasan tersembunyi dan tidak boleh dibiarkan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Minggu lepas, seorang wanita yang meminta bantuan PPIM menguruskan kesnya dengan ah long, menuntut bayaran RM160,000 daripada badan itu kerana mendapati hanya transaksi berjumlah RM90,000 dibuat kepada ah long.

Padahal sejak Disember lalu, wanita itu sudah pun memberikan wang bernilai RM250,000 menerusi 4 bayaran kepada PPIM.

“Jadi saya pelik ke mana baki RM160,000 itu pergi? Pada masa sama, saya masih diganggu beberapa ah long lagi,” kata wanita itu seperti dipetik portal Malaysian Digest.

PPIM menerusi Unit Tindakan Khas (UTK) meminta orang ramai mengadu kepadanya sekiranya diancap oleh peminjam wang.

Tahun lepas, Ketua PPIM Datuk Nadzim Johan berkata unit itu menerima lebih kurang 40,000 aduan melibatkan 64,000 ah long.

Baru-baru ini, pengarah unit tersebut, Yusuf Azmi membuat aduan polis terhadap Syed Alwi dan 3 lain, menuduh mereka mencuri fail penting mengenai ah long dari pejabat PPIM.

Tetapi Syed Alwi berkata fail-fail tersebut tidak hilang dan masih ada di pejabat PPIM.

Seorang lagi bekas pekerja PPIM berkata beliau mempunyai bukti menunjukkan badan itu mengaut untung daripada kesusahan mangsa.

“Saya sedia beri kerjasama kepada polis kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan,” kata Muhammad Fadhrul sebagaimana dipetik Sinar Harian pada sidang akhbar sama.