Didakwa pecah amanah, 2 bekas pegawai Felda diarah bela diri

Hakim Allaudeen Ismail membuat keputusan itu terhadap bekas Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan Sumber Strategik) Felda Muhammad Sufi Mahbub, 54, dan bekas Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad, 58, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Mahkamah menetapkan 5 hari bermula 23 Mac ini bagi kedua-dua tertuduh membela diri.

Sebanyak 49 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang 27 hari perbicaraan kes itu bermula 13 Jun 2017 dan berakhir 13 Disember 2017.

Bagi 2 pertuduhan itu, Muhammad Sufi didakwa orang diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Felda melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana organisasi itu iaitu dengan curangnya melupus dan meluluskan 2 pembayaran masing-masing RM25,999,000 dan RM21,626,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bangunan Wisma Felda, Jalan Perumahan Gurney di sini antara 13 Januari 2014 dan 23 Julai 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Faizoull pula dituduh bersubahat dengan Muhammad Sufi bagi kedua-dua pertuduhan sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, memperuntuk hukuman serupa jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala Muhammad Sufi diwakili peguam Heather Marie Anthony dan Faizoull diwakili peguam Azad Basher.