Jika Iran ada bom nuklear, kami pun mahu, kata Arab Saudi

Putera Mohammed dibidas Tehran selepas merendahkan keupayaan ketenteraan Iran.
Putera Mohammed dibidas Tehran selepas merendahkan keupayaan ketenteraan Iran.

RIYADH: Arab Saudi akan membangunkan senjata nuklear jika musuh ketatnya, Iran, melakukan perkara yang sama, kata Putera Mahkota Mohammed bin Salman semalam, sekali gus meningkatkan prospek perlumbaan senjata nuklear di wilayah yang sedia bergolak.

“Arab Saudi tidak berminat untuk memiliki bom nuklear, tetapi sekiranya Iran membangunkan bom nuklear, kami tidak teragak-agak akan mengikut langkah itu tanpa berlengah lagi,” kata Mohammed dalam temu bual bersama CBS.

Kerajaan Sunni Saudi bertelagah dengan Iran yang bermazhab Syiah sejak berpuluh tahun lalu. Kedua-dua negara itu bersaing dalam perang proksi di Timur Tengah dan negara lain, dengan menyokong pihak bermusuhan dalam konflik bersenjata atau krisis politik di Iraq, Syria, Lebanon dan Yemen.

Dalam temu bual itu, Mohammed merendahkan keupayaan kuasa Iran dengan berkata bahawa Iran bukanlah pesaing Arab Saudi.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Qasemi, memberi respons keras terhadap kenyataan itu dengan berkata, putera Saudi itu “individu delusi dan naif” yang tidak tahu apa-apa tentang politik, lapor stesen televisyen Iran, semalam.

“Beliau tidak faham apa-apa tentang politik selain kata-kata pahit yang berpunca daripada pandangan yang dangkal. Kenyataannya tidak perlu diulas kerana beliau individu delusi dan naif, yang apabila bercakap akan berbohong dan penuh dendam,” kata Qasemi.

Tahun lepas, Mohammed yang juga merupakan menteri pertahanan Saudi berkata, kerajaannya akan memastikan pertelingkahan masa depan antara dua negara itu “berlaku di dalam wilayah Iran”, sekali gus mendapat respons Iran yang mengancam akan menyerang keseluruhan Arab Saudi melainkan Mekah dan Madinah.

Riyadh mengkritik perjanjian kuasa besar dunia dengan Iran pada 2015 yang membatalkan sekatan ekonomi ke atas negara itu dengan syarat Iran menghentikan program tenaga nuklearnya.

Sekatan AS akan bermula semula melainkan Presiden Trump mengeluarkan “pelepasan” baru pada 12 Mei akan datang.

Komen Mohammed, 32 yang merupakan pewaris takhta, turut memberi kesan ke atas Israel, sekutu AS di rantau itu yang sehingga kini tidak menafikan maupun mengesahkan tanggapan umum bahawa ia merupakan satu-satunya negara kuasa nuklear di Timur Tengah.

Sejak lama Israel berpendirian sekiranya Iran membangunkan senjata nuklear, ia akan mencetuskan projek sama dalam kalangan negara Arab lain dan akan semakin menggugat kestabilan rantau itu.

Israel tidak menyertai Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) 1970 dan berkata ia hanya akan menyetujui pemeriksaan dan kawalan sekiranya keamanan dengan jiran Arabnya dan Iran terjamin.

Arab Saudi kini meningkatkan rancangan membangunkan keupayaan tenaga nuklear awam sebagai sebahagian rancangan pembaharuan diketuai Mohammed bagi mengurangkan pergantungan ekonomi negara itu kepada minyak.

Pengeksport minyak terbesar dunia itu berkata ia hanya berminat membangunkan teknologi nuklear untuk kegunaan keamanan, tetapi tidak menjelaskan sama ada ia mahu memproses uranium bagi menghasilkan bahan api nuklear, proses yang juga boleh digunakan untuk menghasilkan bom atom.

AS, Korea Selatan, Rusia, Peranchis dan China adalah pembida tender bernilai berbilion dolar bagi membina 2 reaktor nuklear pertama negara itu.

Komen Mohammed, yang dibuat sebelum lawatannya ke AS minggu depan, boleh memberi kesan ke atas bidaan konsortium yang turut melibatkan Westinghouse milik Toshiba.

Syarikat AS hanya dibolehkan memindahkan teknologi nuklear ke negara lain sekiranya Rumah Putih telah menandatangani perjanjian dengan negara terbabit untuk tidak menjalankan pemprosesan uraniam dan prapemprosesan bahan api nuklear terpakai secara domestik- aktiviti yang boleh menghasilkan kegunaan ketenteraan.

Dalam rundingan lepas, Arab Saudi enggan menandatangani perjanjian yang menyekat kemungkinan negara itu memproses uranium pada masa depan.

Reaktor nuklear memerlukan uranium yang diproses ke tahap ketulenan 5%, tetapi teknologi yang sama boleh digunakan untuk memproses logam berat itu ke tahap gred persenjataan yang lebih tinggi.

Ini merupakan kebimbangan utama negara Barat dan serantau terhadap aktiviti nuklear Iran, musuh utama Arab Saudi, yang memproses nuklear secara domestik.

Riyadh meluluskan dasar program tenaga atom negara itu Selasa lepas, termasuk mengehadkan semua aktiviti nuklear kepada tujuan keamanan, dalam kerangka yang dibenarkan oleh perjanjian antarabangsa.