Polis Sarawak siasat video penggal kepala di Facebook 

KUCHING: Polis sudah memulakan siasatan terhadap laporan berhubung penyebaran klip video dalam Facebook yang menunjukkan seorang wanita ditikam dan dipenggal kepalanya oleh seorang lelaki bertopeng.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar M M Sree Shunmugam hari ini berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Beliau turut menasihati seorang pengguna Facebook atas nama Kenedy Morie agar tampil membantu polis dalam siasatan itu.
Dev Kumar berkata sesetengah pengguna Facebook melakukan pembohongan apabila mengaitkan video itu dengan kes pembunuhan di Sri Aman membabitkan seorang wanita yang kepalanya dijumpai di tebing sungai di Skait, Sri Aman.
“Bagaimanapun, siasatan polis mengesahkan video itu berasal dari Amerika Selatan dan tiada kaitan sama sekali dengan kes di Sri Aman,” katanya dalam satu kenyataan.
Dev Kumar memberi amaran kepada pengguna media sosial supaya berhenti daripada menyebarkan berita palsu yang boleh menjejaskan siasatan berhubung kes pembunuhan di Sri Aman dan seterusnya pendakwaan.