Shahrir: 80% manifesto PH mengenai Felda sudah dilaksana BN

shahrirKUALA LUMPUR: Sebanyak 80% iltizam Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mengenai Felda sudah dan sedang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata, janji yang diberikan pakatan pembangkang kepada peneroka Felda tidak munasabah dan menunjukkan mereka tidak memahami sistem dan urus tadbir Felda.

“Contohnya dalam iltizam mereka menyebut pelupusan 50% hutang peneroka sedia ada, sedangkan ada lebih 7,000 peneroka yang sifar hutang.

“Bayangkan kalau dilupuskan RM5,000 bagi setiap peneroka yang berhutang, bagaimana pula mereka yang sifar hutang. Ini tidak adil kepada mereka. Malahan, jumlah hutang peneroka juga berbeza,” katanya pada sidang media khas menjawab Manifesto PH Berkaitan Felda di Menara Felda, hari ini.

Sebaliknya beliau berkata, pendekatan BN lebih bersifat holistik dan memberi faedah kepada semua, iaitu hutang peneroka dilupuskan sebanyak RM5,000 manakala bagi peneroka yang sifar hutang akan menerima wang tunai RM5,000.

PH dalam manifesto yang dilancar baru-baru ini mengemukakan 5 iltizam khusus untuk warga Felda, antaranya menyusun semula tadbir urus Felda dan membela nasib peneroka serta mengurangkan beban mereka.

Shahrir berkata, janji pakatan pembangkang untuk mentransformasikan Felda dilaksanakan BN melalui Felda 2.0 yang akan memberi wajah baharu kepada 317 kawasan tanah rancangan Felda di negara ini, bermula dengan Felda Lurah Bilut di Bentong, Pahang.

Katanya, kerajaan BN juga mempunyai perancangan lebih tersusun dan terancang untuk meningkatkan lagi pendapatan peneroka, antaranya merancakkan aktiviti pelancongan melalui ekopelancongan dan agropelancongan di kawasan tanah rancangan Felda.

Selain itu, katanya, penglibatan wanita dalam lembaga pengarah Felda juga akan ditambah melalui pelantikan seorang lagi wanita dalam kalangan generasi ke-2 Felda dalam masa terdekat.

Kini, Felda hanya mempunyai seorang ahli lembaga pengarah wanita yang memegang jawatan ketua Penerokawati Wilayah Raja Alias di Negeri Sembilan, iaitu Ramlah Jelani.

Manifesto PH janji 10 perkara, beban rakyat ringan dalam 100 hari