PETALING JAYA: Kebakaran berlaku di Institut Forensik Perubatan Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) tengah hari tadi.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebakaran bermula 12.30 tengah hari.
Kira-kira 40 anggota jabatan bomba dan penyelamat dari 6 balai bomba sekitar KL berkejar ke tempat kejadian apabila ia dilaporkan.
Pengarah HKL Dr Nor Akma Yusuf berkata kebakaran berlaku di stor institut itu dan bomba dapat mengawal kebakaran dari merebak dan api berjaya dipadamkan.
Beliau berkata perkhidmatan di bangunan utama HKL berjalan seperti biasa.
“Pemindahan pesakit, kaki tangan dan pelawat dari bangunan berdekatan bangunan terlibat dijalankan mengikut prosedur. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
“Punca kebakaran dan kerosakan akan dimaklumkan selepas penyiasatan perlu dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.”
Beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau memberi maklumat tidak tepat berdasarkan klip video dan imej yang tersebar dalam media sosial.