Perbaiki sikap anggota, enggan terima laporan jejas imej polis

PETALING JAYA: Polis diseru memperbaiki sikap anggota meja hadapan kerana aduan tentang keengganan menerima laporan orang awam menjejaskan imej pasukan.

Aktivis sosial Tan Sri Lam Thye berkata imej polis harus dipertahankan kerana aduan itu berkaitan dengan peranan pasukan itu dalam masyarakat.

“Sungguhpun peratusan kecil, apabila ini berlaku boleh menjejaskan imej polis kerana tanggungjawab polis adalah membantu orang ramai bila mereka ada masalah tentang jenayah,” kata Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia itu.

Beliau tidak menolak bebanan kes yang banyak mungkin menyumbang kepada sikap tidak bertanggungjawab itu.

“Mereka anggap sebagai leceh nak terima laporan terutamanya apabila berlaku banyak kes misalnya kes ragut,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun yang mendedahkan aduan orang awam terhadap anggota polis yang enggan menerima laporan masih berlaku sehingga ke hari ini.

Fuzi memberi amaran perbuatan itu bercanggah dengan Seksyen 107(4) Kanun Prosedur Jenayah serta Perintah Tetap Ketua Polis Negara yang menghendaki pegawai polis menerima apa-apa jua laporan polis, termasuk di luar balai polis khususnya di tempat kejadian.

Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar menggesa satu pencarian kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu anggota polis enggan menerima laporan orang awam.

“Cari kaedah yang terbaik untuk memperbaiki dan apabila kita cari kaedah terbaik maka lagi kurang aduan,” katanya.

Fuzi dalam kenyataan memberi peringatan kepada semua anggota dan pegawai bahawa balai polis merupakan lokasi selamat untuk orang ramai mendapatkan perlindungan apabila berdepan situasi yang boleh mengancam keselamatan mereka.

“Sehubungan itu, pegawai dan anggota bertugas hendaklah sentiasa bersiap siaga dalam membuat pertimbangan dan penilaian dalam memberikan bantuan dan perlindungan kepada orang awam yang datang ke balai polis agar mereka tidak merasa takut dan trauma.

“Tindakan pantas akan memberikan impak dan meningkatkan keyakina orang ramai kepada perkhidmatan polis.”

Fuzi berkata demikian susulan siasatan ke atas rakaman video tular mengenai seorang wanita yang mendakwa polis tidak membenarkannya masuk ke balai selepas diekori sekumpulan lelaki.

Polis berkata siasatan dalaman sedang dijalankan dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang kesalahan di pihak anggota bertugas.

Wanita dakwa polis gagal bantu selepas diganggu ‘pembuli jalanan’